Ceroboh Tanah 4400 Hektar Secara Haram Di Raub, Pahang

KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2020 - Isu utamanya ialah tentang pencerobohan tanah kerajaan secara haram, itu yang utamanya dan perbuatan menceroboh ini salah, tidak kiralah atas tujuan atau matlamat apa sekalipun. Menceroboh secara haram adalah salah dan wajib dihukum secara tegas!

2. Isu ini dibawa ke mahkamah oleh DAP Pahang pada 28 Ogos 2020 kononnya untuk membantu 111 orang peneroka tanah haram ini. Peliknya, adakah DAP tidak dapat membezakan antara tanah haram dengan tanah yang bergeran atau sah? DAP jangan cuba menjernihkan yang keruh dengan memanipulasikan isu pekebun dan penceroboh tanam haram ini. Kerajaan negeri ada hak ke atas tanah pajakan, inikan pula tanah yang diceroboh secara haram. Jangan jadikan alasan kononnya tanah tersebut telah diteroka sejak dahulu sebagai alasan mereka ada hak, perkara salah tetap salah.

3. Demonstrasi Selamatkan Pekebun Durian oleh DAP dengan pamer gambar Yang di-Pertuan Agong bertujuan meraih simpati dan campur tangan pihak istana amatlah jelik. Jangan jadikan isu ini sebagai mainan politik murahan seperti yang dilakukan oleh ADUN Tras, Pahang Chow Yu Hui yang terlibat dalam demonstrasi tersebut. Chow Yu Hui sebelum ini cuba mempopularkan diri dengan memfailkan permohonan mahkamah untuk membantah iklan Jawi di papan tanda pihak berkuasa tempatan (PBT) Pahang.

4. Kerajaan negeri mesti ambil tindakan tegas kepada mereka ini, jangan beri muka dan jadikan keputusan kes ini nanti sebagai contoh rujukan pada negeri-negeri lain yang turut berdepan isu yang sama. Dan dalam kes ini kita tahu bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Sallehudin Ishak dalam Malaysiakini pada 20 Ogos 2020 menjawab dakwaan Save Musang King Alliance (Samka), sebuah kumpulan yang dibentuk oleh petani durian yang tidak mempunyai izin menduduki tanah di Raub dengan tegas beliau berkata: “Kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang menentang legalisation scheme (skim pengesahan pendudukan tanah di sisi undang-undang) ini.”

6. Kemudian dengan helah bagi mendapatkan tanah berkenaan syarikat meletakkan nama kerabat dengan harapan mendapat tanah seluas mungkin untuk mengaut keuntungan yang banyak. Tanah yang diduduki oleh petani secara haram ini akan dipajakkan kepada Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP) untuk ‘menghalalkan’ pendudukan tanah secara haram. Siapa Royal Pahang Durian Group (RPD) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP)?Khabarnya syarikat milik bukan Melayu yang meletakkan nama kerabat Pahang, dan terbaru RPDP-PKPP dilaporkan telah diberi pajakan dan hak untuk menggunakan tanah seluas 5,357 ekar di Raub selama 30 tahun dan ditambah 30 tahun lagi menjadikan 60 tahun boleh menanam pokok durian di atas tanah tersebut.

7. Kita bukan mempersoalkan mengenai usaha sama kerajaan negeri atau penglibatan kerabat DiRaja dalam syarikat tersebut, tetapi yang menjadi tanda tanya adakah tidak ada penguatkuasaan undang-undang melarang pencerobohan dan jika berlaku pencerobohan pihak berwajib harus segera mengambil tindakan terhadap syarikat atau pekebun terbabit. Isunya mana tindakan penguatkuasaan? Bagaimana boleh syarikat atau pekebun menanam pokok durian di atas tanah yang belum diwartakan kebenaran ke atasnya? Penceroboh negara atau pendatang asing tanpa izin kita tangkap, hukum dan halau keluar dari negara. Mengapa penceroboh tanah tidak ditangkap dan dihukum?

8. Kelmarin Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata pencerobohan tanah berkenaan telah berlaku sejak sekian lama dan individu terlibat juga telah mendapat hasil selama berbelas tahun tanpa diganggu-gugat. Persoalannya mengapa tidak dikenakan denda maksima membayar balik kawasan penanaman secara haram selama bertahun-tahun itu?

9. Selain itu beliau juga memberitahu bahawa operasi pemutihan tanah bagi kegiatan pencerobohan dan menanam durian Musang King di Pahang dilakukan secara bertimbang rasa, agar aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, termasuk hutan simpan tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya. Adakah kenyataan ini secara tidak langsung mahu memberitahu yang para penceroboh tidak akan dikenakan sebarang hukuman kerana menceroboh?

10. Kesimpulannya kita berasa amat sedih dengan pendekatan sikap beberapa pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan anak cucu cicit bangsa Melayu ini yang kelihatannya semakin hari semakin berkurangan dan perkara ini sangat membimbangkan. Kita adalah anak peribumi, telah berada di sini ribuan tahun bukannya baru 100 tahun yang lalu. Bila terjadi keadaan sebegini, kita tersepit antara mahu atau tidak bagi mengekalkan kerajaan negeri yang ada, kerana jelasnya mereka ini tidak lagi boleh diletakkan pengharapan, mereka mudah melutut sujud di hadapan wang ringgit.

11. Sampai bila? Soalan yang tiada siapa boleh menjawabnya melainkan bangsa Melayu yang ada kuasa itu sendiri. Peruntukan undang-undang mesti dilaksanakan secara tegas terhadap bangsa penceroboh ini, jika tidak hal mengenai kredibiliti dan integriti akan tercemar dan akhirnya keadaan negara ini akan semakin hilang kedaulatannya.

12. Solusinya? Mengapa tidak tanah 4400 ekar itu dijadikan Tanah Rezab Melayu dan disewakan sahaja dengan tidak kurang 40 peratus saham syarikat terbabit dijadikan milik Melayu dengan sebahagian diberi kepada TH, yayasan, koperasi dan sebagainya, agar semua pihak dapat manfaat daripada tanah yang Tuhan anugerahkan kepada orang Melayu ini.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top