Pengundi Berhak Membuat Pilihan Memilih Calon

KUALA LUMPUR, 24 JULAI 2020

1. Sebelum PRU-14 rakyat dihasut untuk memenangkan pembangkang dan menjatuhkan kerajaan yang dikatakan banyak melakukan penyelewengan terutamanya dalam bab rasuah, tetapi kini, apabila telah menang – politik Malaysia menjadi haru-biru dengan “ahli-ahli politik katak” yang melompat sana-sini untuk berebutkan sesuap nasi demi kepentingan diri sendiri.

2. Dengan keadaan seperti yang disebutkan tadi, termasuk antara yang paling ketara janji palsu mengenai manifesto yang tidak ada satupun ditunaikan, membuatkan rakyat sekarang ini harus bijak memilih bagi menentukan masa depan semasa mengundi, usah lagi diberi ruang kepada ahli-ahli politik yang korupsi lagi pendusta ini untuk memegang kuasa. Hari ini sudah jelas, bagaimana mereka sanggup mengadai prinsip demi survival politik mereka sahaja.

3. Bagi saya yang bukan ahli politik ini berpendapat, sebaiknya rakyat mesti berani hanya akan mengundi calon pemimpin yang benar-benar mahu membela kebajikan rakyat dan mempunyai latar belakang yang benar-benar layak diletakkan sebagai calon, meskipun terperangkap dalam keadaan terpaksa mengundi calon dari bebas asalkan yang pro MN.

4. Ini kerana sekalipun ia seorang calon bebas namun akhirnya ia tetap akan berkerjasama juga dengan mana-mana parti yang menang. Tidak mustahil keadaan sebegini boleh berlaku apabila calon wakil rakyat yang diletakkan di suatu tempat itu adalah semata-mata untuk kepentingan parti atau gabungan mereka sahaja, bukan untuk kepentingan negara dan rakyat.

5. Sebagai contoh, sekiranya kawasan itu jelas majoritinya adalah orang Melayu tetapi mereka daripada pimpinan tertinggi parti atau gabungan meletakkan calon bukan Islam sebagai calon dengan tujuan menjaga kepentingan kerjasama parti-parti yang ada dalam gabungan mereka, malah ada yang bukan dari anak watan di kawasan tersebut, adakah kita sebagai pengundi harus mengikut kehendak ahli-ahli politik ini?

6. Begitu juga seorang ahli politik yang dicalonkan – kita sedia maklum dengan latar belakang peribadinya yang penuh dengan sejarah maksiat dan salah laku, adakah kita perlu juga memilih mereka hanya kerana mereka hendak menjaga kepentingan sesama parti-parti dalam gabungan mereka?

7. Sampai bila hak kita sebagai pengundi bebas harus digadai dengan percaturan bodoh ahli-ahli politik yang hanya menjaga kepentingan diri dan parti sahaja, bukan kepentingan rakyat dan negara.

8. Rasanya PRU-15, medan terbaik dan kini sudah tiba masanya minda rakyat sebagai pengundi harus berubah ke arah yang lebih matang bukan lagi sebagai ‘pak turut’. Tidak salah kita sebagai rakyat memilih individu bukannya parti yang kita suka. Jangan pula sampai kita taksub pada parti sehingga sanggup dicatur oleh ahli-ahli politik untuk kepentingan mereka.

9. Kita tidak menjangka bila PRU-15, namun kita mesti bersedia dari sekarang bagi menunaikan hak kewajiban kita sebagai pengundi yang bebas dalam memilih pemimpin yang berwibawa meskipun daripada kalangan calon bebas.

10. Di PRU-15 nanti kita sebagai pengundi harus berani demi masa depan anak cucu-cicit kita, berani membuat perubahan kepada yang lebih baik. Jika pemimpin hari ini begitu dinamik bermain politik maka sebagai pengundi tepuklah dada tanyalah hati masing-masing, sampai bila kita hendak diperbodohkan oleh ahli-ahli politik korupsi yang meletakkan kepentingan perut mereka masing-masing tanpa benar-benar mahu membela rakyat dan negara.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top