Apa Agenda Saifuddin Abdullah Mempertahan Al Jazeera Hingga Mengenakan Tindakan Terhadap Pembela Negara?

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2020 - Apa motif sebenar Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mengambil tindakan terhadap Harleena Pahlavy, pengacara TV Bernama yang menggelar stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera sebagai Al Jahiliah, seolah-olah ada sesuatu tersembunyi di sebalik tindakannya itu?

2. Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanahair, bukankah kita sepatutnya mempertahankan maruah negara kita daripada dihina dan diburuk-burukkan seperti yang dilakukan oleh Al Jazeera?

3. Bukankah kelantangan Harleena Pahlavy harus dipuji kerana itu menggambarkan jiwanya mempunyai semangat patriotik yang tinggi – beliau tersinggung apabila Al Jazeera menyiarkan dokumentari yang kelihatan bertujuan jahat memburukkan Malaysia.

4. Tindakan pengacara berita Bernama itu adalah susulan daripada dokumentari kontroversi Al Jazeera yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin di negara ini semasa kerajaan menangani wabak Covid-19. Dokumentari berjudul: “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” itu disiarkan menerusi program 101 East pada hujung minggu lalu. Al Jazeera mendakwa serbuan imigresen terhadap pendatang tanpa izin atau PATI dilakukan ‘ala tentera’, ia memaparkan klip bagaimana pendatang ditahan serta dikumpulkan di satu kawasan yang sempit dan kanak-kanak bawah umur digari.

5. Menghairankan ada pula oleh beberapa pemimpin dari Pakatan Harapan yang mahu mengambil kesempatan ini dengan menunjukkan sokongan terhadap Al Jazeera – mengatakan kerajaan bersikap tidak adil terhadap pendatang asing kononnya atas maksud kemanusiaan dan hak asasi, sedangkan jika bertaraf Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), tiada hak bagi mereka untuk ditegakkan hak asasi kerana telah masuk ke negara ini secara haram.

6. Kita patut memuji keberanian pengacara berita itu apabila berani membidas perbuatan melampau Al Jazeera dengan berkata: “Saya rasakan Al Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al Jahiliyah ini tidak mempunyai asas atau¡pun mungkin etikanya kurang. Kalau kita Google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya,” kata Herleena Pahlavy dan mengakhiri program Malaysia Petang Ini dengan berkata: “Al Jazeera, you shut up”.

7. MUAFAKAT tertanya-tanya apakah motif sebenar tindakan Saifuddin Abdullah yang kelihatannya membela Al Jazeera. Sepatutnya Saifuddin mengambil tindakan terhadap Al Jazeera, menangkis dan membidas dokumentari yang berniat jahat itu bukannya mengenakan tindakan terhadap Herleena. Tidakkah perbuatan Saifuddin itu selaras dengan keinginan pihak Pakatan Harapan yang sememangnya mencari-cari ruang untuk menyerang kerajaan Perikatan Nasional?

8. Dalam isu ini, pertamanya MUAFAKAT memprotes sekeras-kerasnya tindakan Al Jazeera menyiarkan dokumentari kontroversi yang mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin di negara Malaysia. Dan keduanya MUAFAKAT mendesak supaya tindakan tegas mesti diambil terhadap individu yang memberi laporan dan maklumat mengenai Malaysia iaitu Md Rayhan Kabir rakyat Bangladesh. Ketiganya, MUAFAKAT juga menuntut Al Jazeera beserta individu-individu terbabit membuat kenyataan terbuka memohon maaf.

9. Tuntutan pihak Al Jazeera sebagai kebebasan akhbar dengan kenyataan berikut: “to respect media freedom and desist from treating its journalists as criminals” ternyata alasan semata-mata dan meleset dengan istilah kebebasan yang diperjuangkan kerana kebebasan bukannya bererti bebas melaporkan berita yang menghina.

10. Akhir sekali, sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa atau dari parti mana sekalipun harus mempunyai semangat patriotik cintakan tanahair dan berani bercakap benar dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, rakyat harus meletakkan kecintaan kepada negara itu mengatasi kecintaan kepada parti. Rukun Negara harus menjadi landasan dalam memberi ketaatan dan kesetiaan.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Top