Hukuman Keras Ke Atas Mereka Yang Menghina YDP Agong

KUALA LUMPUR, 19 JUN 2020 - Gambar Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bersantap di sebuah kedai roti tempayan Isnin lalu, ketika dalam perjalanan dari Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih ke Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi yang menempatkan 40 individu kurang bernasib baik mengundang komen kurang enak dalam kalangan pembacanya apabila disiarkan dalam laman Facebook akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

2. Rata-rata semuanya komen berbentuk sindiran dan penghinaan, tidak ada langsung yang menunjukkan sikap menghormati Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Ini jelas dan terang-terang menunjukkan sikap kebencian yang melampau-lampau yang melanggar prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Bagaimana hendak dikatakan mereka rakyat yang setia sedang semangat kesetiaan tidak ada?

3. Paling tidak jika seorang itu tidak suka kepada sesuatu atau kepada seseorang apatah lagi terhadap Ketua Negara maka adalah baik dia berdiam diri daripada memberi komen negatif. Dan sikap “berdiam diri” ini pula selaras dengan prinsip dalam Rukun Negara yang terakhir iaitu Kesopanan Dan Kesusilaan. Kesopanan itu sahaja amat berkait dengan adab yang dalam Islam amat menekan bab ini pada setiap permulaan pengajian iaitu pendidikan bermula dengan adab, iaitu adab antara murid terhadap gurunya dan guru terhadap muridnya.

4. Rakyat Malaysia yang sebenar adalah mereka yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara, iaitu:

Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara
Kedaulatan Undang-Undang
Keluhuran Perlembagaan
Kesopanan Dan Kesusilaan

5. Rakyat Malaysia yang baik adalah rakyat yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara dan ianya wajib kerana itulah rukun sebagai seorang rakyat. Sebagaimana dalam Islam, prinsip “rukun” itu sangat penting dalam menentukan kedudukan dirinya. Gagal melaksanakan salah satu daripada rukun itu, maka gugurlah segalanya. Dan kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan harus menekan perkara ini agar semua murid sekolah menengah memahami isi dan pengertian Rukun Negara.

6. Sehingga hari ini, walaupun Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang terhadap mereka yang menghina Raja namun ia masih belum digunakan sepenuhnya manakala di negara jiran seperti Thailand sangat memandang serius perbuatan rakyatnya yang menghina Raja mereka hingga ada yang dihukum penjara antara sehingga 18 tahun dan ada yang sampai sehingga 150 tahun.

Rujuk: https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2017/08/310343/hina-raja-lelaki-thai-kena-jel-18-tahun

Rujuk: https://m.cnnindonesia.com/internasional/20170504132646-106-212218/hina-raja-pengacara-thailand-divonis-150-tahun-penjara

7. Justeru, MUAFAKAT menyarankan supaya kerajaan mengkaji semula peruntukan undang-undang yang ada, dan jika didapati hukuman yang ada masih terlalu ringan sehingga rakyat yang biadab tidak merasa takut dan berani sesuka hati menghina YDP Agong, maka undang-undang boleh menghukum setimpal sebagai pengajaran agar orang lain tidak berani melakukannya.

8. MUAFAKAT juga mengesyorkan supaya akta berikut dipinda kepada yang lebih keras lagi, iaitu:

Orang itu boleh (setelah disabitkan) dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada 3 tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, hukuman penjara adalah tidak lebih daripada 5 tahun – s. 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

9. Negara disanjung apabila Rajanya berdaulat, maka negara perlu melindungi Raja supaya negara itu dijunjung tinggi dan dihormati. Yang Di-Pertuan Agong bukan hanya simbol negara tetapi baginda adalah tunggak kedaulatan negara. Menghina Yang Di-Pertuan Agong sama seperti kita menghina negara sendiri di mata negara lain kerana baginda merupakan ketua bagi negara Malaysia ini.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top