Mempersenda Agama Untuk Mencuit Perhatian Murahan

KUALA LUMPUR, 26 MEI 2020 - Peluang untuk mendapat limpahan pahala yang disediakan di pagi Syawal dicemari dengan perbuatan mengolok-olokkan, atau bergurau senda, atau jadi bahan gelak ketawa, atau mempermain-mainkan hukum untuk menghina syariat agama, malah mereka lupa syariat sunat itu adalah sunnah Rasulullah SAW yang dipermain-mainkan oleh mereka yang bodoh lagi jahil ini semata-mata mahu mendapatkan perhatian orang ramai kononnya mereka telah melakukan suatu yang luar biasa, unik dan aneh. Padahal perbuatan biadab mereka itu adalah menghina sunnah Nabi SAW. Na’uzubillahi minha…

2. Al-Quran menyebut perihal manusia biadab ini dalam firman Allah SWT:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada bagi-nya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab siksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”
(Surah Al-An’aam [6]: ayat.70)

3. Apa yang dimaksudkan dengan “disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidup-nya)” iaitu mereka berpaling atau menolak atau tidak mahu atau keengganan atau tidak ambil peduli untuk mengenal Allah SWT dan Rasul-NYA. Pengertian ‘mengenal’ ialah mempelajari ilmu mengenai agama yang di dalamnya ada pelajaran hukum hakam, ada ilmu tauhid, ada ilmu feqah, ada ilmu adab, dan seterusnya.

Dalam konteks inilah relevansi sebuah hadis riwayat Ibnu Majah di mana Nabi SAW bersabda:

طلب العلم فريضة على كل مسلم

Ertinya: “Mencari ilmu itu wajib bagi setiap Muslim.”

ORANG MUSLIM YANG MENGHINA AGAMA ADALAH DIHUKUM MURTAD

4. Para ulama telah bersepakat menghukum orang Islam yang menghina Allah SWT, Rasulullah SAW dan Al-Quran menjadi kafir disebabkan perbuatannya itu termasuklah jika dilakukan dalam keadaan bergurau. Begitu juga mana-mana Muslim yang menghina agama Islam melalui bentuk-bentuk penghinaan lain seperti menghina hadis Nabi SAW, perintah-perintah agama yang syabit melalui nas-nas syarak dan undang-undang Islam juga dihukum murtad.

5. Hukuman murtad ini adalah bersandarkan kepada kaedah yang telah diletakkan oleh ‘Abd al-Karim Zaydan (1993M) iaitu semua perkataan dan perbuatan yang terkandung di dalamnya penghinaan terhadap Allah, ayat-ayat Al-Quran, agama Islam dan para Rasul adalah membawa kepada murtad. Al-Zuhayli (2008M) juga berpendapat seorang Muslim yang mencerca Allah SWT, Nabi Muhammad SAW, mana-mana Malaikat atau Nabi yang telah diutuskan dianggap telah kufur.

6. Perbuatan mempersendakan, menghina atau mempermain-mainkan ayat-ayat Al-Quran adalah termasuk dalam perkara yang membawa kepada kekufuran jika dilakukan dengan sengaja dan dosa besar disebabkan kejahilan. Contoh penghinaan terhadap ayat-ayat Allah SWT secara fizikal ialah seperti memijak Al-Quran, mencampaknya ke dalam kotoran dan mengubah tulisannya dengan menambah atau mengurangkan kandungannya.

7. Menurut al-Sharbini (2000) perbuatan yang menyebabkan kekufuran ialah sekiranya pelaku bermaksud untuk menghina Islam secara terang-terangan atau penentangan seperti meletakkan najis di atas Al-Quran di mana perbuatan seumpama ini secara terang-terangan memperkecilkan Kalam Allah SWT dan memperkecilkan Kalam Allah membawa maksud memperkecilkan Allah SWT.

8. Penghinaan terhadap agama boleh berlaku melalui banyak cara. Antara tiga bentuk penghinaan yang lazim disebutkan oleh para fuqaha ialah perbuatan atau perkataan yang mencerca Allah SWT, menghina Nabi Muhammad SAW dan mempersendakan Al-Quran. Kelaziman ini berlaku kerana terdapat firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah 9:65-66 yang bermaksud:

Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok- olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman.”

9. Ibn al-‘Arabi ketika mengulas tentang ayat tersebut telah menyatakan bahawa orang yang melakukan perbuatan menghina Allah SWT, Rasulullah SAW dan Al-Quran adalah dihukum kufur walaupun dilakukan dalam keadaan bermain-main atau bergurau.

10. Al-Razi menegaskan bahawa menghina agama dengan apa cara sekalipun adalah suatu kekufuran kepada Allah SWT kerana menghina itu menunjukkan perilaku merendah-rendahkan, padahal dasar terbesar dalam keimanan ialah rasa takzīm kepada Allah SWT dengan kedudukan tertinggi dan menghimpunkan antara istihzā (penghinaan) dan takzīm kepada Allah SWT adalah suatu perkara yang mustahil.

11. Selain penghinaan yang telah dinyatakan, termasuk juga perbuatan lain yang boleh membawa kepada kekufuran menurut fuqaha iaitu menghina al-Sunnah ataupun hadis Nabi SAW. Menghina al-Sunnah adalah termasuk dalam penghinaan terhadap agama Islam kerana al-Sunnah juga merupakan wahyu Allah SWT kepada Rasulullah SAW yang mengandungi ajaran Islam. Di samping itu, individu yang tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al-Quran dan Sunnah dengan alasan kononnya syariat Islam itu mundur, jumud dan tidak sesuai untuk dilaksanakan di zaman yang serba moden ini adalah murtad.

12. Penghinaan lain yang menyebabkan pelakunya dihukum kufur ialah menghina ajaran Islam yang bersifat qat’ie dengan kata-kata atau tulisan sama ada semuanya atau salah satu daripadanya. Bahkan menurut Sacid (1998) seseorang yang Islam akan terkeluar dari agama Islam dan akan menjadi murtad atau kafir dengan sebab memperolok-olok atau mengejek-ejek sesuatu hukum yang sudah jelas dalam agama Islam dan disebutkan nasnya dalam Al-Quran dan al-Sunnah.

13. Justeru, perbuatan terkini oleh segelintir mereka yang membaca khutbah Eid Fitri dengan memegang ‘alat’ atau ‘bahan’ lain menggantikan tongkat atau cokmar seharusnya menjaga adab sunat, kerana ia termasuk dalam hukum agama kerana memegang tongkat atau cokmar termasuk perkara yang dianjurkan bagi seorang khatib dalam khutbahnya, demikian dalam mazhab Imam Syafi’e dan mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal.

14. Dalam kitab Al-Umm jilid 1 hal. 272 Al-Imam as-Syafi’e berkata:

أحب لكل من خطب – أيَّ خطبة كانت – أن يعتمد على شيء

Maksudnya: “Saya menganjurkan bagi yang menyampaikan khutbah dalam khutbah apapun agar memegang sesuatu.”
(Al-Umm jilid 1 hal. 272)

15. Kesunnahan memegang tongkat dalam khutbah adalah berdasarkan beberapa dalil, diantaranya hadis al-Hakam bin Haznin al-Kulafi:

فَأَقَمْنَا بِهَا أَيَّامًا شَهِدْنَا فِيهَا الْجُمُعَةَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَامَ مُتَوَكِّئًا عَلَى عَصًا، أَوْ قَوْسٍ، فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kami menetap di Madinah beberapa hari menyaksikan pelaksanaan Jumaat bersama Rasulullah SAW. Baginda SAW berdiri pada hari Jumaat bersandar dengan tongkat atau busur panah lalu memuji Allah dan menyanjung-NYA.”
(HR. Abu Dawud no.1096. Imam an-Nawawi mengatakan bahwa hadis ini hukumnya adalah Hasan. (Al Majmuk 4/526)).

16. “Mengkhabarkan kepada kami Hisyam bin ‘Ammar, menkhabarkan kepada kami ‘Abdur-Rahman bin Sa’ed bin ‘Ammar bin Sa’ed, menkhabarkan kepada-ku ayah-ku, dari ayahnya ayahku -yakni ‘Ammar-, dari datuknya ayahku -Sa’ed-, bahawasanya Rasulullah SAW. berkhutbah dalam suasana perang, Baginda berkhutbah memakai busur. Dan bila khutbah Jumaat, Baginda berkhutbah memakai tongkat.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah no.1107)

17. Umat Islam wajib jaga adab terutamanya yang berkait dengan sunnah Nabi SAW. Sila rujuk lampiran:

ENAKMAN 11 TAHUN 2013

Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 : Bahagian III – Kesalahan Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam dan Institusinya.

18. Menghina agama Islam merupakan suatu kesalahan jenayah syariah di semua negeri di Malaysia. Kebanyakan negeri meletakkan peruntukan-peruntukan yang membabitkan kesalahan ini dalam bahagian yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya. Contohnya seperti negeri Selangor yang memperuntukkan kesalahan ini dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 pada Bahagian III, Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya seperti yang boleh dilihat dalam seksyen 9, 10 dan 11.

19. Peruntukan-peruntukan bagi kesalahan tersebut dinyatakan seperti berikut:

1. Seksyen 9: Mana-mana orang yang, dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau hadis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

2. Seksyen 10: Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain –

a. Menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;
b. Mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau
c. Mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak mebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

3. Seksyen 11: Mana-mana orang yang memusnahkan, merosakkan atau mencemarkan mana- mana masjid atau surau atau tempat beribadat lain atau apa-apa kelengkapannya dengan niat untuk menghina atau mempersendakan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

20. Selain itu, hukuman yang diperuntukkan oleh setiap negeri bagi tiga kesalahan ini masih berada dalam kategori takzir kerana kadar hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah adalah tertakluk di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) iaitu tidak boleh melebihi 3 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebatan tidak melebihi 6 kali atau kombinasi mana-mana hukuman tersebut.

MUAFAKAT: Wajib menjaga kesucian agama Islam dan jangan sesekali mencabulinya dengan mempersenda-senda atau memperolok-olakkan kedaulatan yang diangkat sehingga tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3: Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top