Naib Presiden Mca Tidak Layak Dilantik Sebagai Timbalan Menteri Perpaduan

KUALA LUMPUR, 6 MEI 2020 - Semalam merupakan detik suram bagi masa depan perpaduan rakyat di Malaysia apabila Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

2. Kekecewaan ini dirasai kerana Naib Presiden MCA itu sebelum ini telah terpalit dengan beberapa pendirian beliau yang nampaknya menjejaskan aspirasi perpaduan rakyat di Malaysia seterusnya secara tidak langsung turut menjejaskan kredibiliti beliau sebagai Timbalan Menteri Perpaduan.

3. Kita mengimbau kembali antara perkara itu: Pertama adalah berkenaan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Isu ini adalah sebab berkumpulnya buat kali pertama himpunan besar-besaran orang Melayu selepas PRU-14, bertujuan memprotes pengiktirafan UEC dan beliau ketika itu antara pendokong utama UEC.

4. Dan seperti yang kita maklum, UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut Sistem Pendidikan Kebangsaan.

5. Amat jelas ketika itu Datuk Seri Ti Lian Ker adalah antara individu yang kuat mendesak kerajaan PH sebelum ini untuk mempercepatkan pengiktirafan UEC, sedangkan Kementerian Pendidikan masih lagi di dalam proses mengeluarkan laporan berkenaan hal tersebut.

6. Seperti yang kita tahu UEC hanya memberi peluang kepada sesetengah kaum sahaja di Malaysia, dan bakal merendahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di Malaysia.

7. Malah beliau sebelum ini pernah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai antara tiga tokoh yang manjadi halangan besar bagi pengiktirafan UEC. Dengan sikap beliau yang seperti itu, bagaimana kita mahu menerima Timbalan Menteri Perpaduan yang menyokong UEC di dalam kerajaan sedia ada?

8. Selain itu, beliau juga antara individu yang cuba menimbulkan keraguan terhadap agenda Bumiputera di dalam “Wawasan Kemakmuran Bersama” yang digagaskan kerajaan sebelum ini.

9. Umum mengetahui bahawa dasar afirmatif merupakan pendekatan sejak dahulu lagi bagi mengurangkan kesenjangan kekayaan antara kaum seterusnya menutup sebab-sebab yang boleh menjadi punca kepada perpecahan di Malaysia. Sekali lagi, dengan isu ini kita tidak mahu Timbalan Menteri Perpaduan yang gagal menghayati semangat dasar afirmatif dan juga Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

10. Selain itu beliau juga terkenal kerana kelantangan mengkritik hukum dan dasar yang berkaitan dengan Islam antaranya pembentangan RUU 355 yang cuba dibawa BN dan PAS sebelum ini.

11. Adalah maklum bahawa RUU 355 hanya melibatkan Akta Mahkamah Syariah yang tidak melibatkan non-Muslim. Jadi kenapa beliau mahu bersungguh-sungguh menentang apa yang tidak berkaitan dengan beliau dan sekaligus menafikan hak-hak Muslim bagi mengatur hukum mereka sendiri?

12. Kegagalan menentukan apa yang menjadi hak-hak orang Islam dan bukan Islam berpotensi mewujudkan ketegangan dan konflik di Malaysia. Justeru, kenapa harus dilantik seseorang yang mempunyai rekod yang teruk sebegini?

13. MUAFAKAT merasakan, kerajaan PN yang telah disimbolkan sebagai kerajaan Melayu Islam tidak terdesak dan perlu melantik orang politik sebegini sebagai Timbalan Menteri Perpaduan. Ini kerana masih terdapat tokoh-tokoh lain yang terdiri daripada golongan akademik atau masyarakat seperti Prof Dato’ Dr. Teo Kok Seong yang merupakan Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA) yang jauh lebih layak daripada beliau.

14. Kenapa tidak dicari calon yang mempunyai integriti, intelektualiti serta spiritualiti yang menjiwai ketamadunan Nusantara seperti Dr. Mohd Ridhuan Tee, walaupun berbangsa Cina tetapi memahami Melayu dengan baik. Akhir kata, walau siapapun yang dilantik, MUAFAKAT sentiasa yakin sesuatu itu akan lebih berjaya jika tempat yang diisi itu betul dan tepat dengan calonnya.

15. Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara.” Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?” Nabi menjawab, “Orang bodoh yang menguruskan urusan umum.”

16. Soal kepimpinan bukan percaturan yang boleh dibuat main-main, ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, ia bukan individu ‘tangkap muat’, sepatutnya usaha pemilihannya perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh, barulah terlepas daripada tuntutan kewajipan memilih pemimpin.

17. Dan ini mengingatkan kita kepada sabda Nabi SAW: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggu datangnya Kiamat (kehancuran).” Lalu ada bertanya, “Bagaimana amanah itu disia-siakan?” Maka, Baginda SAW menjawab: “Apabila suatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kiamat.”

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top