Kealpaan Bakal Mengundang Bencana Jika Fasa Pkpb Tiada Sop Tegas

KUALA LUMPUR, 3 MEI 2020 - MUAFAKAT menyambut baik kelonggaran PKP fasa baru yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun kebimbangan pandemik semakin merebak tetap ada. Kita tiada pilihan, rakyat mesti lebih berdisiplin dan berhati-hati. Ini adalah kerana virus Covid-19 masih menular dan vaksin masih belum ditemui.

2. Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin memang disambut dengan perasaan lega terutamanya komuniti peniaga dan korporat. Perniagaan yang terpaksa ditutup begitu lama akan mengakibatkan kerugian besar dan berisiko bankrap.

3. Keduanya bagi golongan yang makan gaji dengan pendapatan bergantung penuh kepada “ada kerja, ada gaji” juga akan mengalami tekanan apabila tunggakan yang berganda gagal diselesaikan dan bakal berdepan dengan longgokan hutang atas hutang. Dan berbagai lagi hal-hal yang berkaitan kewangan yang membuatkan orang ramai keluar tanpa kawalan kerana terdesak dengan keperluan hidup.

4. MUAFAKAT bimbang fenomena baru yang sebahagian orang mengistilahkannya “new norm” akan berlaku dan akan menjadi bertambah buruk menjurus kepada pandemik gelombang kedua yang jauh lebih teruk dari sebelumnya jika kerajaan tidak menyediakan SOP yang betul.

5. Beberapa negeri mengumumkan tidak akan ikut kelonggaran PKPB dan akan terus kekal dengan PKP, antaranya negeri Kedah, Pulai Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Selangor. Pendirian ini diambil bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dari merebak di kalangan rakyatnya. Menghindari lebih baik daripada mengubati, kita tidak mahu terpaksa buat kerja dua kali setelah bersusah payah pada peringkat pertama.

6. “Bermula Isnin ini dengan memberikan beberapa kelonggaran, bukan ‘tiket’ untuk orang ramai bergerak bebas”, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador. Selanjutnya beliau berkata kepada media FMT: “Keputusan yang dibuat kerajaan ini bukanlah satu jaminan penyakit ini sudah berjaya diatasi, namun kerajaan memberikan kelonggaran disebabkan kepentingan ekonomi, jadi orang ramai perlu bersabar dan tidak tergopoh-gapah,”

Rujuk: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/05/02/pkpb-bukan-tiket-untuk-bergerak-bebas-kata-kpn/

7. Dan sebolehnya jika perkara yang mahu dielakkan ini tetap juga berlaku kerana sikap orang ramai tidak ambil peduli soal keselamatan, maka sia-sialah usaha kekangan yang dilakukan oleh kita semua selama ini sejak beberapa minggu lalu yang telah menghasilkan penurunan jangkitan dengan baik. Padahnya, terpaksa dilanjutkan lagi kepada beberapa bulan yang mungkin berlarutan sehingga hujung tahun dengan bilangan korban mungkin bertambah ramai.

8. Kenyataan pada 2 Mei mencatatkan jumlah kes baru sebanyak 105 kes, 94 adalah penularan tempatan manakala 11 ialah kes import. Dari 94 kes penularan tempatan, 60 adalah dari kawasan PKPD manakala 34 kes dikesan di kawasan lain. Dan sebanyak 116 lagi pesakit Covid sembuh sepenuhnya sejak semalam. Dan jika diteliti mulai tarikh 28 April sebanyak 31 kes, 29 April sebanyak 94 kes, 30 April sebanyak 57 kes, 1 Mei sebanyak 69 kes, dan semalam 2 Mei meningkat semula kepada 105 kes. Belum sampai 24 jam kadar catatan tidak menunjukkan angka menurun!

9. Tidak mustahil jika selepas 4 Mei jumlah dijangkiti mungkin meningkat semula. Lihat sahaja di Lembah Kelang, tinjauan ke beberapa lokasi di sekitar Hulu Kelang sahaja. Mulai pagi semalam, orang ramai kelihatan keluar beramai-ramai setelah diberi kebenaran boleh keluar berpasangan, akibatnya beberapa supermarket sesak hingga saling berselisih bahu dan di luar berpusu orang ramai berbaris panjang sedangkan bilangan pengunjung di dalam supermarket telah penuh berkali ganda.

10. Begitu juga didapati beberapa restoran, kelihatan orang ramai berbaris seperti sudah bebas berjalan ke sana, ke mari dengan tidak lagi ambil peduli soal “social distancing” saranan kerajaan. Keadaan ini mendukacitakan, dan lebih membimbangkan keadaan yang akan berlaku pada hari Isnin, 4 Mei apabila orang ramai bersesak ke tempat kerja.

11. Bagi mengelakkan semua ini berlaku seperti yang telahpun dialami oleh negara Jepun, Korea, Jerman dan beberapa negara lain apabila terlalu awal melonggarkan masa kuarantin, maka tidak dapat tidak kerajaan perlu menambah pasukan keselamatan bagi memastikan orang ramai berdisiplin mengikut SOP. Dan kali ini pasukan keselamatan perlu lebih tegas lagi bagi mengelakkan gelombang kedua pandemik Covid-19.

Rujuk: https://www.thepatriots.asia/jangkitan-covid-19-jerman-naik-tatkala-melonggarkan-pkp-mereka/

12. Justeru, MUAFAKAT berharap sangat agar satu SOP yang betul, tepat dan tegas dilaksanakan oleh kerajaan, dan MUAFAKAT berharap orang ramai perlu lebih peka dan berhati-hati dengan bahaya wabak Covid-19 ini. Jangan sampai kealpaan dengan kelonggaran PKPB untuk bebas bergerak, berkesudahan dengan keadaan jadi semakin buruk dan memaksa kita semua berdepan dengan lockdown sepenuhnya.

Haji Rashidi bin Haris

KETUA MEDIA MUAFAKAT

Top