Muafakat Bantah Beri Kelulusan Syarikat Arak Beroperasi Saat PKP Dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 6 APRIL 2020

1. Kini media sosial menjadi panas apabila tular surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertarikh 31 Mac 2020 memberi kelulusan kepada syarikat arak untuk beroperasi di saat kerajaan melaksanakan PKP. Perkara ini telah membuatkan banyak pihak tersentak seketika terutamanya dari kumpulan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) atau NGOi yang melihat perkara ini secara serius.

2. Surat itu bukan sekadar tular di laman sosial malah beberapa media turut melaporkan, antaranya Malaysiakini bertarikh 5 April 2020 dengan tajuk ‘KPDNHEP Benarkan Syarikat Arak Beroperasi Semasa PKP’. Isu ini juga telah dipergunakan media berniat jahat dengan niat mahu memburukkan nama Melayu Islam seperti media Malaysia Dateline tarikh 5 April 2020 dengan tajuk provokasi yang lebih ekstrim; “Kerajaan Melayu Islam PN Benarkan Syarikat Arak Beroperasi Ketika PKP”.

3. Pagi ini 6 April 2020, Malaysiakini melaporkan pula kedua-dua Menteri dan Timbalannya tidak tahu menahu tentang pengeluarkan surat tersebut. Semuanya atas budi bicara KSU iaitu Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad. Persoalannya adakah isu kelulusan yang berkaitan dengan arak yang merupakan isu paling sensitif bagi umat Islam ini tidak perlu mendapatkan pengesahan dari Menteri?

4. Sebagaimana yang kita semua maklum KPDNHEP kini di bawah kerajaan PN setelah kerajaan gagal PH tumbang baru-baru ini, dan telah melantik YB Datuk Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) sebagai Menteri Kanan dan Timbalannya ialah YB Dato’ Rosol bin Wahid dari PBBM atau Bersatu. Keduanya sebelum ini bersama kerajaan PH.

5. MUAFAKAT dimaklumkan melalui laporan akhbar, semasa PKP ini hanya sepuluh sektor keperluan yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) beroperasi iaitu makanan, air, tenaga, komunikasi dan internet, keselamatan dan pertahanan, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta pembentungan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk produk diet, perbankan dan kewangan, e-dagang serta logistik.

6. ARAK atau ‘brewery’ tidak termasuk dalam senarai kategori yang dibenarkan oleh MKN, atau adakah kelmarin ia telah berjaya memenuhi kriteria keperluan ‘essential‘ hasil dari perbincangan dua hala antara KPDNHEP dengan syarikat Heineken Malaysia Berhad dan layak diberi pengecualian khas dalam masa PKP?

7. MUAFAKAT ingin mengingatkan mereka yang terbabit yang mungkin suatu skandal melibatkan orang tertentu sehingga kilang dapat kelulusan beroperasi padahal arak terbukti salah satu penyebab berlaku masalah sosial dan lebih membimbangkan jika ia bebas dijual saat negara sedang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

8. MUAFAKAT mempersoalkan bagaimana KPDNHEP boleh mengatasi MKN di dalam membuat keputusan ini. Bukankah kebenaran ini akan membawa risiko mewujudkan suatu kluster baru Covid-19 apabila semua pekerja kilang arak itu kembali bekerja.

9. Sebagai salah satu PIBK berteraskan ISLAM, MUAFAKAT membantah sekeras-kerasnya terhadap kebenaran yang diberi oleh KPDNHEP kepada kilang arak Heineken dan menuntut surat tersebut ditarik balik kebenarannya.

10. MUAFAKAT mendesak supaya perkara ini diselesaikan segera sebelum parah menjadi bahan cercaan orang ramai khususnya umat Islam yang sebelum ini bertubi-tubi menyerang bekas Menteri Wilayah dengan isu Carlsberg.

MAHMUD HISHAMUDDIN

SUA MUAFAKAT

Top