Lantikan Politik Harus Segera Letak Jawatan Sebelum Malu Dipecat

Print

KUALA LUMPUR, 3 APRIL 2020 - Polemik isu yang sedang hangat tular di media sosial Facebook dan Twitter mengenai seorang usahawan wanita yang silap membuat kenyataan hingga mengundang tuntutan supaya beliau dipecat baru-baru ini bagaikan isyarat kepada lantikan politik yang lain terutamanya dari pelantikan rejim kerajaan PH lalu yang gagal.

2. Ini kerana jikalau individu dalam badan-badan kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan terdiri daripada lantikan politik semata-mata dan bukan berdasarkan merit atau kebolehan, maka logiknya lantikan-lantikan ini seharusnya meletakkan jawatan masing-masing apabila landskap politik berubah atau bertukar.

3. Pandangan ini adalah seiring dengan pandangan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dari PKR dan Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah yang juga berkata bahawa lantikan politik PH harus meletakkan jawatan.

4. Ini kerana mereka yang dilantik itu harus sedar bahawa yang melantik merekapun sudah tidak lagi berada dalam kerajaan, jadi bagaimana mereka masih boleh terus kekal dengan jawatan itu.

5. Agak memelikkan jika pemimpin politik yang melantik sudah tiada tetapi yang dilantik tanpa perasaan malu terus-menerus keluar masuk pejabat seolah-olah tidak terlibat dengan perubahan politik yang berlaku.

6. Justeru, pada pandangan peribadi saya adalah elok sekiranya mereka yang memegang jawatan melalui lantikan politik segera melepaskan jawatan masing-masing sebelum dimalukan dengan surat pemecatan. Perkara ini sepatutnya sudah sedia maklum memandangkan masing-masing mempunyai nilai harga diri.

7. Ini bukannya paksaan tetapi sekadar cadangan dan gesaan kepada individu-individu atau tokoh-tokoh terlibat yang sudahpun menjadi bahan tohmahan orang ramai terutamanya warga maya yang tidak berpuas hati dengan prestasi lantikan politik semasa berkhidmat di bawah kerajaan regim PH.

8. Maka kita berpandangan, biarlah mereka yang betul-betul berkebolehan, berwibawa dan bersih dari rencah politik dilantik mengisi jawatan-jawatan berkenaan supaya jika berlaku perubahan politik ia tidak mengganggu gerak kerja yang penting.

“Demi maruah dan harga diri, jalan terbaik adalah dengan meletakkan jawatan sebelum dipecat dari jawatan.”

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT