Akur Titah Tuanku Sultan Selangor: Hentikan Polemik Kerajaan Pintu Belakang

KUALA LUMPUR, 16 MAC 2020 - Berulang kali MUAFAKAT menyatakan kepada ahli politik dan juga kumpulan yang tidak puas hati dengan pelantikan kerajaan baru di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar hentikan provokasi dan polemik “kerajaan pintu belakang”. Pelantikan kerajaan ini jelas berasaskan kepada lunas-lunas yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, bukan dibuat sesuka hati.

2. Baginda Sultan bertitah, Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang. “Beta sendiri telah mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang telah dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati dan selepas perundingan yang teliti dan terbuka diadakan, selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

3. Ini jelas, maka tohmahan yang tidak berasas semata-mata kerana tidak puas hati yang lahir dari jiwa yang penuh dengan hasad dengki patut dilenyapkan. Amat memalukan apabila perkara sebegini berterusan sehingga Tuanku Sultan Selangor bertitah supaya hal ini dihentikan segera. Tambah lagi saat ini negara sedang berhadapan dengan wabak penyakit yang telah mengakibatkan kes lebih 400 orang, namun pada masa yang sama ada pula sebilangan manusia masih degil dengan sikap tamak haloba mahu berebut jawatan.

4. Amat menyedihkan apabila khabarnya pihak tertentu itu adalah dari kumpulan politik telah mengambil kesempatan ke atas pihak berkecuali (tiada kepentingan politik) dengan mempergunakan mereka bagi tujuan politik mereka, menghasut supaya membuat kenyataan yang secara tidak langsung mempersoalkan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu. Apakah mereka tidak faham maksud Raja Berperlembagaan ataupun mereka sengaja mahu mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara?

5. Bagi MUAFAKAT, pihak kami jelas mengambil pendekatan boleh menerima pembentukan kerajaan Pakatan Harapan walaupun ketika itu kami berasakan tidak patut kerana kemenangan mereka pada PRU-14 adalah dengan persepsi bohong dan manifesto palsu, namun kami tidak melatah malah sabar dan menerima perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melantik barisan pemimpin negara daripada Pakatan Harapan.

6. Sehinggalah hak keistimewaan orang Melayu dicabar apabila dengan angkuhnya Dong Zong mendesak supaya Unified Examination Certificate (UEC) diiktirafkan oleh kerajaan PH. Tuntutan pengiktirafan UEC telah membuatkan orang Melayu bangkit kerana tuntutan ini jelas memang mencabar hak orang Melayu dan tidak sesuai di negara majmuk seperti Malaysia.

7. Begitu juga dengan tuntutan yang mendesak supaya kerajaan meratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms if Racial Discrimination atau Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum, ringkasnya ICERD. Iaitu menghapuskan segala hak keistimewaan orang Melayu menjadikan semuanya sama rata. Perbahasannya panjang dan kesimpulannya ICERD tidak sesuai diratifikasikan.

8. Dan yang ketiganya tuntutan Statut Rom yang juga bertujuan secara halus bagi menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Kedudukan Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Negeri dan Ketua Eksekutif Negara dilucutkan. Ini permintaan mereka yang tiada adab dan kurang ajar.

9. MUAFAKAT menyeru kepada semua pihak baik dari kalangan politik dan bukan politik supaya kita bersama-sama menjunjung titah perintah Tuanku Sultan Selangor. Ahli politik haruslah melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat untuk mentadbir negeri bagi faedah kesejahteraan rakyat, manakala yang bukan ahli politik dari kalangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan berusaha melaksanakan amar makruf nahi mungkar dengan memperkasakan lagi akidah Ahli al-Sunnah wal-Jamaah.

Daulat Tuanku.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top