Penyerahan Memorandum Kepada Tuanku Sultan Selangor Menyusuli Selepas Serahan Kepada Spb Ydp Agong

KUALA LUMPUR, 17 FEBRUARI 2020 - Pada 15 Februari 2020 bersamaan 21 Jamadil Akhir 1441, Gabungan Persatuan-Persatuan Silat Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN) dan Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), telah selamat menyerahkan Memorandum ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Agong berkaitan dengan keselamatan negara serta rentetan penghinaan demi penghinaan terhadap Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu yang dilihat kini semakin melampau dan tidak terbendung oleh pihak berwajib.

2. Antara kandungan Memorandum ialah: memohon perlucutan kerakyatan ke atas individu yang melampau-lampau menghina Raja Permaisuri Agong. Jauh lebih dari itu di awal tahun 2019 telah ditular secara meluas gambar-gambar penghinaan terhadap SPB YDP Agong Sultan Kelantan dan juga Sultan Pahang yang kini SPB YDP Agong, dan semua Raja-Raja Melayu oleh media propaganda Sabah Sarawak Merdeka.

3. Hari ini Isnin, 17 Februari, PERTAHAN menghantar “Surat Makluman” untuk penyerahan Memorandum ke Istana Selangor. Tarikhnya bergantung kepada Datuk Bijaya atau pekenan Tuanku Sultan Selangor sendiri, diharap ianya dapat dilaksanakan pada bila-bila masa sekitar awal bulan Mac 2020, bagi penyerahan Memorandum susulan kepada semua Raja-Raja Melayu di seluruh negara bermula dengan Baginda Tuanku Sultan Selangor dahulu yang telah bertitah supaya rakyat baginda tidak mengangkat pemimpin Komunis sebagai wira negara.

4. Titah perintah dari Tuanku Sultan pada 11 Disember 2019 mengisyaratkan betapa seriusnya teguran baginda Tuanku terhadap rakyat baginda yang muktakhir ini semakin berlembut dan terlalu apologetik terhadap golongan yang terang-terangan menolak prinsip RUKUN NEGARA yang pertama.

5. Prinsip RUKUN NEGARA yang pertama ialah Kepercayaan Kepada Tuhan. Ia bermaksud setiap rakyat yang mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia mesti tanpa terkecuali mempunyai pegangan agama iaitu mempercayai kewujudan Tuhan. Dalam ertikata lain negara Malaysia tidak menerima golongan atheist seperti penganas komunis yang menolak Tuhan dan agama.

6. Ideologi Komunisme telah terbukti dalam sejarah yang menyebabkan kematian dan penderitaan kepada jutaan manusia. Buktinya di Rusia semasa era diktator Joseph Stalin telah membunuh rakyatnya sendiri sehingga 20 juta orang, dan kata-katanya masih menjadi igauan sampai sekarang; “Death is the solution to all problems, no man - no problem”. Manakala “Killing Field” berlaku di zaman paling hitam sejarah Kemboja apabila regim komunis Khmer Rouge di bawah Pol Pot menyiksa dan membunuh sehingga 2 juta rakyatnya sendiri dari tahun 1975 hingga 1979.

7. Hari ini kita mengharapkan apa yang berlaku di Rusia dan Kemboja tidak berulang di mana-mana negara dalam dunia ini, malangnya mutakhir ini terbongkar cerita bagaimana kerajaan Republik Rakyat China masih berdolak dalih menafikan penindasan yang sedang dan telah mereka lakukan di zaman 5G ini terhadap rakyatnya berbangsa Uighur di Xinjiang dengan menempatkan mereka di ghetto sebagaimana pernah berlaku di zaman kekejaman Nazi Hitler.

8. Apakah keadaan seperti itu mahu dilakukan di negara kita ini? Ini tidak mustahil terjadi kerana kini sudah ada suara-suara dari pengkhianat bangsa Melayu Barua yang mencadangkan supaya menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu iaitu sistem Raja Berperlembagaan digantikan dengan Negara Republik.

9. MUAFAKAT berasa amat kecewa apabila sehingga ke hari ini kerajaan di bawah regim PH masih belum bertindak secara tegas terhadap himpunan alumni Komunis di Kajang. Laporan media melaporkan yang ada hanyalah siasatan, dan masih belum ada lagi sebarang tangkapan walaupun sepatutnya penganjur majlis itu ditahan kerana telah melanggar RUKUN NEGARA yang pertama, iaitu menghimpun mereka yang berpegang kepada ideologi penganas Komunis yang menolak kewujudan Tuhan.

10. Pengakuan beragama oleh pejuang Komunis hanyalah helah untuk mereka melepaskan diri daripada ditangkap dan dikenakan hukuman. Dan jika itu dijadikan sebagai alasan oleh penganas Komunis tersebut maka mereka masih juga melanggar RUKUN NEGARA iaitu pada prinsip kedua: “Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara”.

11. Dengan menjunjung titah perintah Tuanku Sultan Selangor, MUAFAKAT mendesak kerajaan khususnya kerajaan negeri di bawah pemerintahan kuasa Tuanku Sultan supaya mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan terhadap penganjuran perhimpunan alumni anggota pengganas Komunis di Kajang tempoh hari harus disampaikan kepada Tuanku Sultan dan didedahkan kepada rakyat Selangor supaya di masa akan datang peristiwa yang sama tidak berulang dan MUAFAKAT tidak mahu perjumpaan anggota pengganas Komunis ini menjadi acara tahunan mereka.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT

Top