Tiada Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara Pada Mereka Yang Mempunyai Dua Kerakyatan

KUALA LUMPUR, 12 FEBRUARI 2020 - Kelmarin media melaporkan berita mengenai seorang ADUN, Dr. Ting Tiong Choon dari DAP hilang kelayakannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Sarawak.

2. Mahkamah Persekutuan membuat keputusan ini susulan dari tindakan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei 2019 melucutkan kelayakan beliau kerana mempunyai dua kerakyatan sekaligus melucutkan kelayakannya pada persidangan DUN selepas usul dibentangkan oleh Datuk Seri Wong Soon Koh.

3. Dalam usul tersebut, Dr. Ting didakwa memiliki kerakyatan Australia selain diisytiharkan muflis dua kali di negara berkenaan di bawah pihak berkuasa kewangan sekuriti Australia pada 24 Jun 2012 dan satu lagi pada 11 September 2012. Lebih memeranjatkan beliau juga dikatakan pengundi berdaftar di Australia dan ini terang-terangan melanggar perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri Sarawak.

4. MUAFAKAT memandang serius perkara ini, kerana ianya membabitkan integriti seorang calon pemimpin yang berjaya mendapat tempat sebagai ADUN, diberi kepercayaan oleh rakyat bagi memikul amanah besar menjaga kebajikan rakyat dan memberi ketaatan kepada negara, sebaliknya beliau merupakan talam dua muka dalam isu kerakyatan.

5. Bagaimana seorang itu boleh dikatakan mempunyai ketaatan kepada negara sedangkan dia mempunyai dua kerakyatan, dalam erti kata lain, apabila dia berada di sana tentunya dia akan bersumpah memberi ketaatan kepada negara sana (Australia) dan dalam masa yang sama juga apabila dia berada di Malaysia, tidak mustahil dia bermuka-muka mengatakan dia setia kepada negara Malaysia.

6. Jika di negara lain terutamanya di beberapa negara Barat tindakan khianat sebegini dikategorikan sebagai traitor atau pembelot negara. Mereka boleh dihukum bunuh kerana boleh dituduh sebagai perisik atau pengintip. Jangan pula nanti ada menteri bodoh yang akan mengatakan ini perkara remeh dan kecil sedangkan ia membabitkan hal kerahsiaan pertahanan dan keselamatan negara. Beliau dengan jelas melanggar Perkara 24 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

7. Sikap selamba dan semberono oleh parti-parti politik dalam negara yang ‘longgar’ dalam memilih dan mengambil individu-individu tertentu mewakili partinya tanpa menyelidiki latar belakangnya amatlah memalukan dan berada pada tahap yang sangat mendukacitakan kerana ternyata tiada SOP menapis dan memantau perkara ini atau mungkin ketiadaan rasa setia kepada negara ini kerana DYMM YDP Agong adalah orang Melayu?

8. MUAFAKAT tegas menyatakan rasa tidak puas hati dan amat bimbang kerana isu dua kerakyatan ini jelas melanggar RUKUN NEGARA yang kedua, iaitu Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Perlanggaran ini sebagai bukti bahawa ADUN seperti ini patut dinyahkan atau dibuang kerakyatan sebagai rakyat Malaysia. Ketegasan ini harus dilaksanakan tanpa memilih bulu atau kelak ia akan menjadi bebanan negara suatu masa nanti.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top