Titah Tuanku Sultan Perak Patut Diambil Berat Oleh Semua Parti Politik Bukan Mengapi-Apikannya Lagi

KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER 2019 - Amat menyedihkan apabila didapati beberapa pemimpin parti politik yang berterusan menghina agama lain dalam ucapan-ucapan mereka yang berbentuk hasutan menghina agama dan bangsa lain. Keadaan ini menjadi semakin teruk apabila setiap kali tibanya musim pilihanraya maka pelbagai parti yang terlibat dalam perebutan kerusi itu akan membangkitkan api kemarahan pihak lain melalui ucapan-ucapan yang menghina agama dan bangsa musuhnya di khalayak ramai di atas pentas ceramah masing-masing secara terbuka.

2. Kebimbangan ini sehingga diutarakan oleh Baginda Sultan Perak sendiri semasa baginda bertitah pada majlis Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-63 Sultan Perak di Istana Iskandariah semalam.

3. _“Negara ketika ini tidak memerlukan panglima untuk berperang tetapi negara teramat memerlukan diplomat untuk menjalinkan persaudaraan, seorang yang luas lagi jauh pandangannya, matang, sabar, tenang dan rasional pendekatannya agar melalui kebijaksanaan dan hikmahnya, suhu panas dapat diturunkan dan negara dapat dihindarkan daripada dilanda bencana, disebabkan perselisihan kaum agama,”_ titah baginda.

Rujukan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/626826/perselisihan-kaum-dan-agama-semakin-kritikal-sultan-perak

4. Berpandangan sama menjunjung titah mulia Tuanku Sultan Perak, UMMAH juga melihat keadaan politik hari ini semakin hari semakin parah dan membimbangkan, malahan sangat menakutkan apabila kali ini dalam pentadbiran kerajaan baru, dapat dilihat secara terang-terangan ada ahli politik terlibat tanpa berselindung membantu dan menyokong dengan mahu memberi khidmat guaman membela kumpulan yang telah diwartakan sebagai pengganas antarabangasa oleh Negara dan kumpulan ini termasuk dalam senarai pengganas oleh 32 negara.

5. Padahal dahulunya semua parti sebulat suara sama ada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang menentang keganasan dari mana-mana kumpulan militan tetapi hari ini yang berlaku adalah sebaliknya, sekali pun jelas disiarkan perbuatan kumpulan militan ini membunuh orang awam yang tidak bersalah secara terbuka. Bukankah ianya merupakan suatu perkara aneh apabila parti politik yang mendukung dan bersama kerajaan dilihat bersama dengan kumpulan pengganas, dan mengapa hal ini boleh terjadi?

6. Justeru, UMMAH berasakan sudah tiba masanya pihak berwajib yang mempunyai kuasa menjunjung titah perintah Tuanku Sultan dengan mengambil langkah serius bersungguh-sungguh menangani masalah ini dengan tiada rasa takut dengan ugutan - jika ada - dari kumpulan mana-mana ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi atau agenda tersembunyi menekan dan menganggu kacau pihak berwajib ketika menjalankan tugas untuk negara.

7. UMMAH juga menyokong pihak keselamatan negara supaya segera mengambil tindakan tegas jika ada mana-mana ahli politik yang sengaja mengapi-apikan perbalahan kaum dan juga yang menghina agama lain. Mencantas virus perosak ketika baru mahu membiak lebih baik daripada menunggu sehingga nanti sukar untuk menghapuskannya.

8. Perkara yang sama juga pernah disuarakan oleh Paduka baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu mengenai perpecahan umat Melayu Islam. _“...semua nilai murni yang diunjurkan agama Islam yang sepatutnya mengalir di dalam diri setiap orang Melayu Islam, termasuk pemimpin Melayu ini tidak diamalkan dan seolah-olah kita lupa batas agama menghalang kita untuk berpecah-belah dan bertelingkah sesama kita,”_ titah baginda ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, Penyampaian Sumbangan Hari Raya dan Perasmian Masjid Taman Seri Muda, Seksyen 25.

Rujukan: Sultan Selangor dukacita perpecahan Melayu | Nasional | Berita Harian

9. Akhir sekali, UMMAH menjunjung tinggi titah perintah Tuanku Sultan Perak mengenai anasir yang boleh mengakibatkan perpecahan umat dan pelbagai kaum. Rakyat pelbagai kaum perlu memahami dan menerima hakikat bahawa kita tinggal di negara majmuk yang agama Persekutuannya adalah ISLAM dan Baginda Sultan adalah Ketua Agama bagi negeri-negeri yang berdaulat di bawahnya.

Haji Rashidi bin Haris
Naib Pengerusi UMMAH
Ketua Media MUAFAKAT

Top