Liberalis Terdesak Sehingga Sebar Dakyah Di Kalangan Remaja

KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER 2019 - Dua keadaan isu yang telah melanda negara baru-baru ini ternyata mengejutkan banyak pihak iaitu isu debat yang menggalakkan para pelajar supaya bebas mentafsir Al-Quran dan menghalalkan perbuatan liwat; dan keduanya isu mengenai penyebaran komik propaganda komunisme-sosialisme yang sebelum ini tidak pernah berlaku secara terang-terangan tetapi kini sudah terzahir jelas di depan mata kita semua.

2. Peliknya, kedua-dua isu ini berlaku hampir serentak dalam minggu yang sama dan sasaran pembacanya juga sama iaitu di kalangan murid sekolah rendah dan menengah. Lalu timbul persoalan: Apakah ini secara kebetulan atau sememangnya telah lama dirancang?

3. Jika benar seperti yang diandaikan, maka kita boleh lihat bagaimana strategi ini sangat tersusun rapi, yang terlihat ia bukan hanya menyerang di kalangan pelajar umum, tetapi seolah-olah ada pengkhususan berskala, ada yang khusus pada peringkat rendah dan ada yang khusus pada peringkat menengah, juga ada sebaran dakyahnya secara umum dan ada juga khas di kalangan pelajar cerdik contohnya seperti yang telah berlaku baru-baru ini di kalangan pelajar yang menyertai pertandingan debat. Apakah ini perancangan jangka panjang penerapan nilai-nilai liberal untuk golongan yang akan mengundi pada usia 18 tahun… Mungkin ya, mungkin tidak? Apapun ianya telah berlaku.. dan tiada yang boleh menafikannya.

4. Seterusnya kita boleh lihat bertubi-tubi serangan dakyah liberalis ini, mereka bergerak cergas dan pantas, amat tersusun dan kelancaran ini hanya akan terhasil apabila dua perkara pokok suatu organisasi itu cukup: sumber dana yang mencukupi dan rangkaian tenaga kerja yang ramai dan sudah lama tersusun, hanya menantikan arahan sahaja. Dan ini tidak mustahil.

5. Cuma yang menjadi tanda tanya sekarang, mengapa golongan remaja? Adakah mereka terlalu desperate atau terdesak sehingga meletakkan pelajar bawah umur sebagai sasaran agenda liberalisme mereka?

6. Mengenai isu komik ini jika isinya dikatakan benar dan asli, kita ingin bertanya; di mana kisah sembelihan kaum kiasu terhadap ratusan ribu orang Melayu ketika di zaman Bintang Tiga yang tidak mahu menolong gerombolan pengganas ini dengan dana dan bantuan bahan mentah? Mustahil hanya beberapa orang. Ini adalah sejarah yang tidak boleh dipadamkan hanya dengan senaskhah komik kebudak-budakan.

7. Manakala isu kontrovesi di kalangan cendiakawan pula ialah program debat apabila penganjur mencadangkan soalan supaya pelajar berhujah dengan dalil Al-Quran bagi membolehkan perlakuan seks sejenis ini halal dalam Islam. Dalam konteks ini ia jelas bercanggah dengan akidah dan memang ramai yang tertanya-tanya di mana letaknya kaitan akidah dengan tajuk debat.

8. Benar ia hanya soalan bukannya arahan bertindak, namun usaha untuk menghalalkan perkara yang haram, yang melanggar syariat boleh membatalkan akidah seorang Muslim. Mentafsir Al-Quran dengan kemampuan akal itu juga sudah jelas bercanggah dengan metodologi Islam itu sendiri. Ulama kita tidak mentafsir Al-Quran itu dengan keupayaan akal mereka semata-mata, tetapi merujuk sumber yang berurutan sampai kepada otoriti sumber iaitu Al-Quran dan hadis.

9. Dan ini mengingatkan kita kepada hadis Nabi saw dari Ibnu Abbas RadhiyAllahu’Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

من قال في القرآن بغير علم فليتبوأ مقعده من النار

“Barangsiapa yang berkata tentang Al-Quran tanpa ilmu maka siapkanlah tempat duduknya di neraka.” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi)

10. Juga hadis yang diriwayatkan dari Jundab ibn Abdillah RadhiyAllahu’Anhu:

من قال في القرآن برأيه فأصاب فقد أخطأ

“Barangsiapa yang berkata tentang Al-Qur’an dengan akalnya, lalu kebetulan ia benar, maka ia tetap salah.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

11. Manakala Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata:

اي أخطأ طريقة الاستقامة بخوضه في كتاب الله تعالى بالتخمين والحدس لتعديه بهذا الخوض مع عدم استجماعه لشروطه فكان آثماً به مطلقا ولم يعتد بموافقته للصواب لأنها ليست عن قصد ولا تحر، بخلاف من كملت فيه آلات للتفسير فإنه مأجور بخوضه فيه وإن أخطأ لأنه لا تعدي منه فكان مأجورا أجرين كما في رواية، أو عشرة أجور كما في أخرى إن أصاب، وأجر إن أخطأ كالمجتهد لأنه بذل وسعه في طلب الحق واضطره الدليل إلى ما رآه فلم يكن منه تقصير بوجه .

“Maksudnya: ia telah menyalahi jalan yang benar kerana telah mentafsirkan kitab ALlah Ta’ala dengan menduga-duga dan mengandaikan maknanya, dan kerana keterujaan atas perbuatan tersebut, tanpa mengumpulkan syarat-syarat yang harus dimiliki oleh seseorang yang hendak mentafsirkan Qur’an. Maka ia berdosa secara mutlak dan tidak dianggap perkataannya yang (mungkin) kebetulan betul (sekalipun) kerana itu hanya sekadar berbetulan dan bukan kerana adanya usaha yang benar. Berbeza pula dengan orang yang telah terkumpul pada dirinya syarat-syarat kelayakan sebagai pentafsir Al-Qur’an, maka ia mendapatkan pahala jika tafsirannya salah sekalipun. Kerana kesalahannya tersebut bukan kerana kelancangan. Maka jika tafsirannya benar, ia mendapatkan dua pahala sebagaimana dalam suatu riwayat atau 10 pahala dalam riwayat yang lain. Dan jika tafsirannya salah, ia mendapatkan satu pahala, sebagaimana seorang mujtahid. Kerana ia telah mengerahkan sedaya upayanya untuk mencari kebenaran dan ia telah mengolah dalil sebatas mampu yang bersesuaian dengan yang mereka fahami, maka dari sisi ini pada diri mereka tidak ada sikap peremehan (remeh-temeh)”.

12. Cukuplah hadis dan pandangan ulama hadis ini sebagai dalil yang menunjukkan tafsiran melalui akal ini bukan hanya membahayakan kepada masyarakat malahan kepada diri sendiri. Tambah lagi tafsiran untuk menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah SWT.

13. Dan yang akhir, mengenai dakyah propaganda golongan liberalis yang jelas fahaman ini terpesong dan amat bercanggah dengan sistem pentadbiran negara mengikut Raja Berperlembagaan.

MUAFAKAT ulangi lagi walaupun telah berpuluh kali berpesan akan bahaya fahaman sesat ini yang jika tidak disekat dan dipantau ia akan menjadi barah yang sukar dihapuskan yang akhirnya institusi Kesultanan orang Melayu tidak mustahil akan terhapus.

Hari ini sudah terbukti sudah ada sebilangan orang Melayu yang bukan hanya tidak menghormati Sultan malah ada yang mencadangkannya agar ia dihapuskan.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top