Sekolah Menengah Menjadi Mangsa Penerapan Jarum Liberalisme Peringkat Pendidikan Awal

KUALA LUMPUR, 20 OKTOBER 2019 - Apa yang menjadi kebimbangan MUAFAKAT sejak 20 tahun yang lalu dalam menyuarakan bahaya perkembangan pemikiran pascamodenisme yang diserapi dengan fahaman liberalisme ternyata kini menjadi kenyataan sama sepertimana apa yang dipesankan oleh Allahyarham Wan Muhammad bin Wan Muhammad ‘Ali sahabat karib kepada al-Fadhil Allahyarham Dr. Uthman el-Muhammady dalam buku beliau berjudul; “Islam Dan Fitnah” terbitan MUAFAKAT.

2. Ini dapat dilihat apabila terdapat percubaan yang dilakukan bagi menyerapkan agenda pemikiran liberalisme, yakni kebebasan bersuara dan kebebasan melakukan apa sahaja selagi ianya atas dasar suka sama suka dan tidak mengganggu orang lain maka itu dikatakan memenuhi dasar kebebasan hakiki, ke atas remaja sekolah menengah.

3. Ini kerana pemahaman yang mereka sangkakan benar dan tidak salah itu telah mendorong mereka berusaha mencari-cari alasan bagi menghalalkan perbuatan terkutuk mereka, sama ada mereka tahu atau tidak, hal ini amat jelas dilarang dalam Islam sebagaimana Firman-Nya iaitu: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” - Surah Al-Isra’: ayat 32.

4. Liwat termasuk dalam hal berzina, dan soalnya sekarang apakah ada cara lain yang boleh mengangkat pengharaman dan menghalalkan persetubuhan terkutuk mereka itu?! Tentu sekali tidak, dan jika ada sekalipun mereka hanya boleh melakukannya melalui registration cara Barat yang ternyata bercanggah dengan hukum feqah akad nikah mengikut Syariat Islam.

5. Terbaru apa yang telah pun berlaku, iaitu dalam sebuah program debat bahasa Inggeris yang telah diadakan baru-baru ini di Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR) di Seremban, Negeri Sembilan, pada 11-13 Oktober 2019, pihak penganjur Pertandingan Debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak Kali Ke-8 bagaikan memaksa para pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh seluruh Malaysia, yang baru berusia 13 hingga 15 tahun, yang menyertai pertandingan debat ini diminta berhujah perkara mengenai kecacatan dan kekurangan Al-Qur’an serta memaksa mereka menulis semula Al-Qur’an dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

6. Menurut sumber dari ibubapa yang hadir pada majlis pertandingan debat tersebut, menceritakan: semasa perdebatan sedang berlangsung di mana murid akan diberikan beberapa sampul untuk dicabut oleh murid termasuk dari SMAP wakil SBP dan difahamkan murid tersebut telah mendapat tajuk “ISLAM TIDAK MENGHALANG HOMOSEKSUAL”. Dan seterusnya murid tersebut hanya mendiamkan diri, lalu para guru SMAPK terkejut dan tertanya-tanya kenapa MURID NI DIAM DI PENTAS TANPA BERHUJAH...

7. Selepas masa tamat baru murid tersebut turun pentas dan tunjukkan tajuk yang ia dapat dalam sampul yang diberi oleh pihak penganjur. Ada juga antaranya mengatakan terdapat tajuk debat: sekiranya ada kewajaran al-Quran ditulis semula, dan pandangan mereka terhadap amalan homoseksual, bagaimana boleh dihalalkannya.

8. Dari sumber yang lain ada mengatakan kandungan tajuk debat yang pertamanya seperti berikut: “Given the ability to rewrite the Qur’an, this House, as moderate Islamic scholars would republish a new version of Qur’an with contents vulnerable to radical misinterpretation removed”. Terjemahannya: “Diberikan kemampuan untuk menulis semula Al-Qur’an, Rumah ini, sebagaimana sarjana-sarjana Islam moderat akan menerbitkan semula satu versi baru Al-Qur’an dengan membuang kandungan yang terdedah kepada tafsiran radikal.”

9. Dan yang keduanya; “A solid irrefutable evidence was found which proves that being homosexual is not a sin in Islam. There is no direct commandment from God regarding this, and it is instead a law decreed thousand of years ago from ijtima whose judgements were clouded by inherent homophobia. TH would not disclose this.” Terjemahan: Terdapat bukti kukuh yang dijumpai mengatakan bahawa dalam agama Islam tindakan homoseksual bukan satu dosa. Tiada larangan yang jelas dari Tuhan yang mengatakan bahawa perbuatan homoseksual adalah sebuah dosa, sebaliknya hukuman terhadap dosa homoseksual adalah berdasarkan ijmak yang dikaburi sikap homophobia. Soalan ini disediakan oleh Ketua-ketua Juri beragama Islam, Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal.

10. Apapun sehari kemudian selepas tersebar berita mengenai kekalutan melampau ini, serta-merta Kementerian Pendidikan memaklumkan mereka sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap penganjur debat tersebut dan menamakan dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai pihak yang bertanggungjawab. Syabas kita ucapakan atas tindakan pantas ini oleh pihak yang berwajib.

11. Sementelah, kita tertanya-tanya apakah mungkin polemik ini sengaja ditimbulkan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu sebenar yang jauh lebih besar ancamannya seperti LTTE, atau mungkin juga untuk mengaburi orang ramai daripada mengetahui terdapat sekumpulan evangelis telah bergerak diam-diam ke Amerika Syarikat bagi mengemukakan tuntutan supaya perkataan Islam atau lebih jelas supaya digugurkan Islam sebagai agama Persekutuan, boleh jadi?

12. Namun apa sekalipun, yang jelasnya perbuatan luar tabi’in ini bukan sahaja bercanggah dengan hukum agama malah melanggar hukum alam dan etika kemanusiaan, sebab manusia bukannya dijadikan supaya ia pupus, supaya tidak berkembang biak. Ini jelas apabila dalam Islam ianya ditegur agar tidak melampaui batasan kemanusiaan, jangan sampai jatuh ke taraf kebinatangan, iaitu pada ayat seterusnya yang amat straight forward, jelas dan tiada sebab untuk diputarbelitkan, yang menyebut “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,..” dan “Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (lebih teruk daripada haiwan)!” - Surah As-Syu’araa’: ayat 165-166.

13. Dan tiada alasan lagi melainkan mereka yang jahil lagi bodoh, hatta mereka yang dalam hatinya ada ciri-ciri kemunafikan akan mencari-cara alasan bagi menghalalkan perbuatan keji lagi terkutuk itu, sebagaimana Firman Allah SWT: “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. - Surah An-Naml: ayat 55.

14. Justeru, MUAFAKAT membantah keras sikap dan perbuatan penganjur program yang cuba mengeksploitasi pelajar sekolah rendah dengan pemikiran sesat serta memaksa minda mereka menerima dan menghalalkan agenda golongan kaki liwat ini dijernihkan walaupun ianya amat jelas bertentangan dengan akidah Islam.

15. MUAFAKAT juga menuntut pihak penganjur yang terlibat memohon maaf dengan segera dan secara terbuka dan MUAFAKAT ingin mengesyorkan agar pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan mengambil tindakan tegas dengan menahan penganjur, soal siasat, beri bimbingan konseling, dan dikenakan hukuman berat supaya perkara seperti ini tidak berulang.

16. MUAFAKAT juga menyarankan semua majlis agama Islam di semua negeri supaya lebih peka dan berhati-hati mengawal dan menghalang segala percubaan oleh golongan liberalis, tidak terkecuali juga kesesatan ajaran Syiah dan Wahhabi yang kini dilihat semakin berani menyebar dakyah merekabsecara terbuka dalam usaha untuk menerapkan nilai-nilai akhlak yang rosak dan akidah yang sesat, pihak berwajib kini harus bertindak lebih awal dan segera memantaunya sebelum virus sesat liberalisme dan ajaran-ajaran sesat ini merebak luas.

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT

Top