Siapa Yang Bermaruah Dan Siapa Yang Jadi Barua?

KUALA LUMPUR, 13 OKTOBER 2019 - Di dalam Pidato Pembinaan Bangsa Malaysia, Anwar tidak seharusnya mengkritik dan mempertikai Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana walaupun terdapat kelemahan di dalam pelaksanaannya, tindakan afirmatif ini sekurang-kurangnya berjaya membantu sedikit penglibatan Bumiputera di dalam sektor utama ekonomi negara sehingga mewujudkan golongan kelas atasan dan menengah Bumiputera.

Malah visi beliau bahawa perlu wujud suatu naratif baru bagi membantu semua kaum juga merupakan idea yang ketinggalan zaman kerana salah satu matlamat DEB itu sendiri adalah mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

Malah, semasa berdirinya DEB ini, kaum minoriti telah menikmati pengembangan kek ekonomi dan mendominasi senarai orang terkaya di Malaysia saban tahun. Semangat perpaduan, kebersamaan, pemenuhan hak-hak golongan minoriti sudah ada lagi sebelum ini.

Malaysia kini belum lagi memerlukan dasar dan naratif yang baru. Apa yang diperlukan adalah gerak kerja bagi mencapai tahap keseimbangan kaum dengan memperkasakan kaum Bumiputera yang ketinggalan.

Menurut kajian yang dilakukan bersama Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, di bawah tajuk “Discrimination in high degrees: Race and graduate hiring in Malaysia” yang diterbitkan Journal of Asia Pacific Economy menunjukkan seolah-olah terdapat diskriminasi terhadap bangsa Melayu di dalam aktiviti pengambilan pekerja oleh sektor swasta.

Maka salah satu perkara yang perlu dilihat adalah sejauh mana kesemua bangsa di Malaysia benar-benar memberi komitmen bagi membantu golongan Melayu untuk mencapai keseimbangan kaum ini.

Tetapi sekiranya Anwar mahu berlagak sebagai seorang pemikir dan ingin menyebarkan candu-candu retorika dengan mengatas namakan suatu idealisme, maka lebih baik beliau mengkritik dan menilai sekolah vernakular yang diberi peluang wujud sekian lama tetapi tidak menyumbang ke arah perpaduan malah memberi kesan yang sebaliknya.

Maka barulah boleh dikira beliau jujur di dalam memperjuangkan pemecahan tembok perkauman. Pada awal tahun ini, sejumlah RM12 juta telah diperuntukkan terus kepada Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina melalui Kementerian Kewangan tanpa melalui Kementerian Pendidikan. Tetapi tidak kedengaran Anwar bercakap berkenaan ‘trust deficit’, ‘ethics deficit’, ’moral deficit’ ataupun ‘good governance’ dalam hal ini.

Dari sudut politik, sudah sekian lama kaum minoriti diberi peluang menduduki jawatan-jawatan di dalam kabinet kerajaan. Sebelum ini, jarang sekali kedengaran isu-isu berkenaan soal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaaan, agama Islam merupakan agama rasmi persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera.

Sebaliknya Malaysia Baharu penuh dengan isu-isu seperti retifikasi ICERD, Statut Rom, pengenalan tulisan jawi, penggunaan bahasa Cina dalam Kursus Pendidikan Seni Visual (PSV), penghinaan anggota tentera dan lain-lain lagi.

Terbaru adalah video oleh seorang penulis iaitu Boo Su-Lyn yang mempertikaikan kenapa hanya Melayu Muslim sahaja yang layak memegang jawatan tertinggi negara.

Dakwa beliau kenapa tidak seorang non-Muslim boleh memegang jawatan penting seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan lain-lain lagi. Lihat juga gelagat sinis netizen-netizen bukan Melayu berkenaan agenda Bumiputera di dalam Agenda Kemakmuran Bersama 2030.

Jadi dalam hal ini kenapa tiada perincian oleh Anwar?

Jadi nampaknya seolah-olah Malaysia Baharu bukan memperkuatkan elemen-elemen Perlembagaan Persekutuan seperti Bahasa Melayu, agama Islam, Raja-raja Melayu dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera, sebaliknya menghantar isyarat yang salah iaitu kepada kesaksamaan kaum yang mirip kepada konsep Malaysian Malaysia milik DAP.

Apabila perkara-perkara ini tidak dihormati, maka ini yang menyebabkan ketegangan kaum. Ia bukan disebabkan penegasan hak-hak kaum Melayu seperti yang disampaikan di Kongres Maruah Melayu.

Oleh itu, bukan sepenuhnya salah bangsa Melayu menilai semula kesesuaian bangsa-bangsa minoriti lain menduduki jawatan-jawatan penting apabila perkara-perkara ini berlaku.

Apa yang dilakukan oleh majoriti bangsa Melayu kini bukan berdasarkan kepada konsep asabiyah fanatik yang dilarang tetapi lebih kepada memperingati supaya jangan ada yang melanggar sempadan lampu merah dan kewajipan mempertahankan apa yang telah dipersetujui oleh semua pihak sebelum ini.

Dalam dunia ini kita tidak boleh menjadi kedua-dua hero yang benar dan batil. Jadi siapa yang bermaruah dan siapa yang menjadi barua?

Oleh Firqah Najiyah

Ahli MUAFAKAT

Top