Isu Teks Khutbah Tertinggal Memasukkan Syiah Sebagai Ajaran Sesat

KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER 2019 - Baru-baru ini agak kecoh sedikit jemaah solat Jumaat apabila menyedari pada teks kedua khutbah Jumaat yang disediakan oleh JAIS sudah tidak lagi menyebut perkataan “Syiah”, seolah-olah menggambarkan Syiah bukan lagi ajaran sesat bagi negeri Selangor.

2. Beberapa ahli MUAFAKAT juga turut menyuarakan kegelisahan ini, apakah JAIS telah menerima Syiah sebagai tidak lagi sesat sebagaimana ajaran Ahmadiah atau Qadiani pada bulan Julai tahun lalu telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang memihak kepada pengikut fahaman Ahmadiah bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak berhak menghalang dan mengambil tindakan ke atas mereka, kerana mereka bukan lagi Islam dan telah terkeluar dari ajaran Islam.

3. Justeru, berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada iaitu mengikut Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, jelas menyebut Mahkamah Syariah hanya untuk orang Islam sahaja, atas sebab mereka (ajaran Ahmadiah atau Qadiani) bukan Islam, maka sebab itulah Mahkamah Syariah tidak ada hak ke atas mereka,” perkara ini diketahui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf, yang faham Qadiani bukan ajaran Islam, maka mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan ajaran mereka yang batil itu secara terbuka. Adakah Syiah sudah begitu?

4. Dari apa yang difahamkan oleh rakan-rakan dari pegawai JAIS kepada MUAFAKAT, sebenarnya JAIS telah memutuskan semua kumpulan ajaran akan disebut ketika khutbah kedua Jumaat mengikut giliran pada setiap Jumaat, maknanya Syiah juga adalah ajaran sesat tetapi akan disebut kumpulan jamaahnya itu bila tiba gilirannya nanti, dalam erti kata lain semua nama ajaran sesat akan disebut bergilir-gilir.

5. Ini kerana jika hendak dimasukkan ke semua ajaran sesat dalam khutbah Jumaat yang terhad waktunya itu tentulah menyulitkan dan menyukarkan. Sebagai contoh; dalam hadith Nabi ﷺ ada menyebut mengenai 72 firqah sesat, tentulah jika hendak disebutkan kesemuanya akan menyebabkan bacaan khutbah itu panjang berjela-jela dan mengambil masa yang lama, yang mungkin akan menyulitkan pekerja pejabat terkejar-kejar dalam urusan seharian pekerjaan mereka.

6. Tentulah memadai disebut 2 atau 3 nama kumpulan sesat dan di lain masa akan disebutkan pula nama yang lain dan begitulah seterusnya, dalam keadaan bergilir-gilir. Di bawah adalah senarai yang dicadangkan, yang akan disebut nama-nama ajaran sesat secara bergilir, In sya Allah.

7. Mengikut jadualnya seperti berikut, iaitu:

11hb Okt – Hizbut Tahrir
18hb Okt – Ajaran Millah Abraham
25hb Okt – Gerakan Militan DAESH
1hb Nov – Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme
8hb Nov – Ajaran Ilmu Syahadah Zikir Nafas oleh Ismail Kassim
15hb Nov – Ajaran Kumpulan Al-Arqam
22hb Nov – Ajaran Islam Jamaah
29hb Nov – Ajaran Syiah,

Dan seterusnya….

8. Namun begitu, kami dari MUAFAKAT mengesyorkan kepada pihak berwajib seelok-eloknya doa supaya umat Islam dijauhi daripada kesesatan Syiah ini dikekalkan, ini kerana ajaran Syiah sekarang ini bukan hanya begitu pantas merebak dalam masyarakat ummat Islam terutama yang cetek pengetahuan akidahnya dan mudah pula terpedaya dengan habuan mutaah yang menjadi gula-gula utama ajaran ini mempengaruhi orang awam.

9. Lebih teruk lagi Syiah merupakan satu-satunya ajaran yang terlalu banyak kebatilannya, mereka mengkafirkan para Sahabat termasuk bapa mertua Rasulullah ﷺ iaitu Saidina Abu Bakar Radhiyallahu ‘Anhu dan juga isteri kesayangan Rasulullah ﷺ, yang juga merupakan Ummul Mukminin; Saidatuna Aisyah Radhiyallahu ‘Anha, melakukan fitnah besar terhadap 12 Imam dari kalangan Ahlulbait, memuja melampau-lampau terhadap Saidina Ali serta Saidina Husein Radhiyallahu ‘Anhum. Semua kesesatan ini harus diperingatkan kepada ummat Islam di negeri Selangor dan juga di negeri-negeri lain.

10. Syiah juga adalah merupakan musuh tradisi paling awal dan paling lama dalam sejarah Islam yang sentiasa memusuhi Ahlus Sunnah wal-Jamaah sebaik kewafatan Nabi sehinggalah ke hari ini. Semoga kita semua umat Islam di Nusantara diselamatkan daripada kesesatan golongan Syiah atau dulunya dikenali sebagai golongan Rafidhah ini, na’uzubiLlāhi min’dzalik.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top