Peguam Negara Pilihan PH Menghina Mahkamah?

KUALA LUMPUR, 27 SEPTEMBER 2019 - Kalau dahulu agak sukar atau jarang sekali kita dengar kes Peguam Negara menghina mahkamah, kalau adapun mungkin satu atau dua kes sahaja, itupun biasanya melibatkan pemimpin atau tokoh yang cuba diselamatkan khususnya di luar negara. Tetapi hari ini, dengan “pentadbiran kerajaan baru”, kes sebegini bukannya suatu yang luar biasa lagi atau perkara yang jarang berlaku, ia seolah-olah menjadi lumrah.

2. Dalam kes kematian Allahyarham Mohamad Adib terang-terang Peguam Negara telah menggunakan ‘kedudukan’ dan ‘pangkat’nya untuk mempengaruhi keputusan penghakiman Allahyarham Adib, sedangkan inkues belum selesai lagi. Kenyataan ini diperkuatkan dengan hujah: “Adalah amat tidak wajar dan menyalahi prinsip perundangan inkues dan subjudis bagi AG untuk mengambil kedudukan mengenai punca kematian arwah Adib yang masih menjadi persoalan yang cuba dirungkaikan di dalam inkues yang sedang berlangsung.” Kenyataan oleh Yang Arif Puan Hakim Koroner Rofiah Binti Mohamad.

3. Susulannya, kerana tidak berpuas hati, bapa Adib, Mohd Kassim, telah menamakan Tommy sebagai Peguam Negara yang secara salah telah mengambil pendirian dan membuat keputusan pra-matang bagi pihak Jabatan Peguam Negara tentang punca dan sebab kematian Muhammad Adib, dengan itu Peguam Negara juga didakwa telah menghina mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan media yang akan mengganggu kelancaran dan ketelusan proses inkues anggota bomba kerana campur tangan salah dalam pelaksanaan keadilan hingga menyebabkan prosiding inkues kematian Muhammad Adib tertangguh, sekaligus melengahkan keadilan daripada dicapai.

4. Lantaran ketidakcekapan Tan Sri Mohan @ Tommy Thomas dalam memikul amanah dan tanggungjawab besar sebagai Peguam Negara, ramai pihak menuntut beliau meletakkan jawatan atau dipecat. Desakan ini juga menjadi semakin hangat apabila terdapat banyak kes-kes lain yang melibatkan campur tangan Peguam Negara yang melanggar atau gagal menegakkan keadilan mengikut peruntukan yang diberikan ke atasnya.

5. Namun begitu, jika dilihat dari sudut propaganda politik pula, keberadaan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah merupakan aset berharga buat pihak pembangkang bagi menghadapi PRU-15 atau PRK yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Ini kerana beliau adalah salah seorang daripada barisan tokoh yang akan menjadi liabiliti kepada pentadbiran kerajaan baru yang rata-rata terdiri dari mereka yang akan menjadi “punca” rakyat swing 360 darjah kerana akhlak dan tingkah laku mereka itu.

6. Saya secara peribadi dengan tidak mewakili mana-mana NGO-I, berpendapat orang yang seperti Tommy Thomas, Mat Sabu, Khalid Samad dan beberapa lagi yang berada dalam barisan “kebadut-badutan” ini perlu dikekalkan, sehingga tiba PRU-15, atau PRK atau sehingga tiba hari kejatuhan mereka itu nanti. Ini kerana, tanpa barisan kumpulan kebadut-badutan ini, pihak pembangkang akan ketandusan modal yang besar untuk dihidangkan kepada rakyat bahawa inilah rupa sebenar pemimpin yang telah dipilih oleh majoriti.

7. Secara tidak langsung hal keadaan semasa ini setidak-tidaknya dapat mengajar indirectly kepada rakyat yang mudah terpengaruh dengan tidak mahu tabayyun bila menerima sesuatu tularan berita di media maya yang kebanyakannya dalam bentuk persepsi tanpa sebarang bukti atau fakta yang menyokong persepsi tersebut. Mudah percaya pada janji-janji sedangkan kebanyakannya adalah palsu.

8. Semoga kes Adib ini bukan hanya terbela dengan tertegak keadilan tetapi juga menyedarkan orang ramai kesan dan akibat apabila salah dan silap dalam membuat pilihan ketika mengundi. Sudah tiba masanya rakyat kena cerdik supaya dapat memilih pemimpin yang cerdik. Dan rakyat sepatutnya menggunakan kecanggihan dan kemudahan media bagi menangkis dan menapis berita palsu dari media sendiri.

Haji Rashidi bin Haris

Naib Pengerusi UMMAH

Ketua Media MUAFAKAT

Top