Saman Syarikat Punca Jerebu dan Mesti Bertanggungjawab Menanggung Kos Penyelengaraan Mengatasinya

KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER 2019 - Suatu yang agak luar biasa apabila sehingga ke hari ini, tiada sebarang tangkapan atau tindakan tegas diambil terhadap syarikat-syarikat yang terbabit yang menjadi punca kepada pencemaran udara berjerebu hingga menyebabkan hampir seluruh negara tercemar dengan bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) telah mencecah melebihi 100 KPN dan ada yang menghampiri 200 KPN.

2. Saat artikel ini disiarkan, UMMAH dimaklumkan tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa, atau setidaknya mengeluarkan surat amaran bagi membawa pihak atau syarikat yang terbabit ke muka pengadilan, padahal nama syarikat-syarikat yang menyebabkan kepada kebakaran besar dan kemudiannya terhasil pencemaran udara berjerebu telah pun diumumkan dalam senarai dari berita dalam dan luar negara.

3. Sebelum ini tersiar dalam akhbar Indonesia melaporkan; Kerajaan Indonesia bertindak menyita tanah milik empat syarikat usahasama sawit Malaysia yang didakwa terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan. Syarikat-syarikat terbabit, yang majoriti sahamnya dimiliki syarikat Malaysia, termasuk Sime Indo Agro (milik Sime Darby Plantation) di Kalimantan Barat, Sukses Karya Sawit (milik IOI Corporation) dan Rafi Kamajaya Abadi (milik TDM Bhd). Dalam satu laporan berlainan, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar mengesahkan tanah milik Kuala Lumpur Kepong di Riau turut disita.

4. Manakala NST Online melaporkan: Reuters quoted Indonesia’s Environment Minister Siti Nurbaya Bakar as saying that there were four Malaysian companies out of at least 30 companies whose palm oil plantations in Indonesia were sealed off due to the fires.

She reportedly named the firms as Sime Darby Plantation’s unit Sime Indo Agro based in West Kalimantan; IOI Corporation’s unit Sukses Karya Sawit; and TDM Bhd unit Rafi Kamajaya Abadi.

5. Keadaan jerebu yang sudah mencapai tahap membimbangkan ini ternyata menjadi mimpi ngeri jutaan orang sehingga akhbar tempatan melaporkan sebanyak 57 buah sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang terpaksa ditutup, ini kerana keadaan jerebu yang serius di kawasan berkenaan. Segala aktiviti luar disarankan tidak dilakukan kerana bimbang terhidu pencemaran ini dan menyebabkan banyak perancangan program dan aktiviti tergendala dan ini semua melibatkan kos. Dan sudah tentu ianya melibatkan kerugian dan puncanya adalah kerana sikap degil dan tidak peduli syarikat-syarikat besar terhadap akibat dan kesan kepada pencemaran alam sekitar. Bagi mereka keuntungan syarikat lebih penting dan utama daripada menjaga kesihatan orang ramai.

6. Kami dari UMMAH amat bimbang dengan sikap ketidakpedulian dan kerakusan syarikat-syarikat besar ini, jangan sampai kerana keangkuhan dan kesombongan mengejar duniawi dan membelakangi alam sekitar menyebabkan jutaan manusia menderita menghidu asap toksik. Hari ini terang-terangan kita sudah boleh lihat bagaimana negara kita sedang berdepan dengan golongan yang kini sudah berani mensyirikkan Allah SWT, mempermainkan Syariat-Nya, memperkecilkan usaha menegakkan agama-Nya, menghina Rasul-Nya dan mereka jelas bersungguh-sungguh menyerang Islam, maka firman Allah SWT:

‎فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُّبِينٍ

Maksud terjemahannya: “Oleh itu tunggulah, detik langit membawa asap (jerebu) yang jelas nyata.”

‎يَغْشَى النَّاسَ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Yang akan menimpa seluruh umat manusia (kerana keangkuhan manusia itu, sehingga mereka akan berkata:) Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”.
(Surah Al-Dukhan: ayat. 10-11)

7. Tidak dinafikan, ianya agak sukar untuk melihat kesannya dalam tempoh jangka pendek namun tidak mustahil jika dilihat dari sudut jangka panjang berkemungkinan akan ada kesan-kesan sampingan dalaman pada diri seseorang yang telah terkena pencemaran asap toksik ini. Walaupun ianya tidak seteruk kes pencemaran udara seperti di Pasir Gudang namun ianya tetap memberi kesan buruk pada kesihatan orang ramai. Setakat ini belum ada rakyat yang mati mendadak atau pun muntah-muntah atau nafas tersekat seperti mangsa pencemaran udara Pasir Gudang, tetapi jangan dipandang remeh bila nanti ada beribu rakyat mengadu sakit dada atau semput.

8. UMMAH amat bimbang dengan sikap kerajaan bagaikan tidak peduli terhadap isu pencemaran ini yang melibatkan mangsanya adalah dari kalangan seluruh rakyat Malaysia. Tidak boleh tidak, kerajaan harus bertanggungjawab mengambil inisiatif menyiasat sedalam-dalamnya, tambah lagi ada khabar angin mengatakan isu ini melibatkan seorang menteri, mungkin kerana itu berbagai cara dilakukan bagi mengalih perhatian orang ramai daripada mengetahui atau bertanya mengenainya. Kami dari UMMAH tetap berpegang kepada prinsip: “to prevent is better than to cure”.

9. Justeru, UMMAH menuntut kerajaan supaya lebih serius menangani masalah pencemaran ini. Bukannya setakat memantau, atau melaporkan berita tahap pencemaran, tetapi yang UMMAH maksudkan ialah kerajaan bersungguh-sungguh mencari alternatif terbaik bagi memastikan perkara pencemaran ini tidak berulang lagi. Dan jalan paling berkesan ialah dengan mengenakan tindakan seperti hukuman berat selain menyaman syarikat atau pun memaksa individu yang terbabit supaya menanggung kesemua kos penyelenggaraan bagi membasmi pencemaran udara ini.

10. Jangan sampai nanti kerana terpaksa menangani masalah kesihatan rakyat, negara terpaksa dibebani dengan menanggung kos yang menelan belanja berbillion ringgit, padahal perkara ini boleh diatasi lebih awal dan dapat dielakkan bebanan yang sia-sia ini, jika kerajaan mengambil sikap tegas terhadap syarikat-syarikat yang jadi punca pada pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh kedegilan dan ketidakpedulian manusia tamak haloba ini.

Haji Rashidi bin Haris 

Naib Pengerusi UMMAH
Ketua Media MUAFAKAT

Top