Marina Patut Rujuk Pakar Sebelum Menyampuk Bidang Agama

KUALA LUMPUR, 27 MEI 2019 - Bak nasihat orang tua-tua Melayu dahulu; “Jangan sampuk bila orang tua-tua bersembang”. Ertinya jangan masuk campur dalam perkara yang kamu tidak tahu. Samalah juga dengan apa yang Marina Mahathir lakukan, menyampuk hal yang beliau jahil mengenainya.

Pesalah jika tidak dihukum, maka akan menjadi-jadilah kesalahan itu berleluasan dalam masyarakat kita yang dunia menghormati cara kita mengamalkan Islam di rantau ini. Hukum mesti dilaksanakan kerana pelaku tidak akan ada rasa serik daripada melakukan perbuatan itu jika dibiarkan.

Seperti dalam kes ini, apabila Marina Mahathir mengkritik tugasan penguatkuasa apabila mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak berpuasa yang makan dan minum di khalayak ramai. Sekalipun di bilik tertutup di restoran, ianya tetap mengaibkan apabila Ramadan dicemari dengan kebiadaban mereka yang melanggar hukum.

Memang dari segi logik akal kecil ini kita akan berkata; apalah sangat kesalahan tidak berpuasa, namun jika diukur dari sudut jangka masa panjang tentu perbuatan ini boleh merebak dengan tanggapan masyarakat jahil, tidak puasa itu bukannya satu kesalahan.

Dan akhirnya apabila telah merata sebagaimana agenda pluralisme, 10 tahun akan datang tidak akan ada lagi perbezaan antara mereka yang berpuasa dengan yang tidak. Dan Islam dengan agama bukan Islam dilihat sama sahaja.

Dalam undang-undang jenayah syariah di Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri di Malaysia; umat Islam yang ditangkap tidak berpuasa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan mengikut undang-undang Syariah.

Contohnya di bawah seksyen 19(a) Enakmen Jenayah Syariah 1995 Negeri Selangor, mana-mana orang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan, menjual makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap kepada umat Islam, adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya pula boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya.

Kalaulah peruntukan undang-undang yang telah disediakanpun hendak dilanggari, maka untuk apa undang-undang itu dibuat? Kita buat undang-undang supaya ianya dipatuhi bukannya dilanggari.

Dan amat tidak cerdik sekali apabila beliau membuat perbandingan Malaysia dengan negara Barat, kenapa tidak dengan negara Islam?

Jangan kerana beliau anak kepada “somebody” maka beliau berasakan beliau bebas untuk berkata dan melakukan apa sahaja!

Kita tidak mahu kerajaan baru mengamalkan Rule of Jungle sebagaimana yang Tun Mahathir tegaskan sebaik menang PRU-14.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top