Hapuskan Sekolah Vernakular Demi Perpaduan

KUALA LUMPUR, 25 MEI 2019 - PERPADUAN itu sangat penting bagi mencapai keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk. Namun pengertian ‘perpaduan’ itu mestilah mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan, ia tidak boleh sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Mengimbas kembali titah Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Johor dalam Utusan Malaysia bertarikh 3 November 2016; Baginda bertitah;

“Kerajaan harus menambahbaik sistem pendidikan sedia ada dengan menjadikan sekolah rendah hanya memiliki satu aliran dan bahasa kebangsaan harus dijadikan bahasa pengantar, sementara bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib. Manakala bahasa Mandarin dan Tamil pula dijadikan mata pelajaran elektif”.(1) Saranan Tuanku Sultan ini sepatutnya diberi perhatian serius oleh pihak berwajib kerana ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

MUAFAKAT yakin dengan kearifan Tuanku Sultan setelah membuat pengamatan secara halus tentang perkara ini. Ternyata benar, sekolah vernakular gagal membentuk masyarakat yang bersatu-padu, sebaliknya mewujudkan semangat rasis-chauvinis-kiasu antara kaum terutamanya sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sehingga kesannya dapat dilihat pada hari ini.

Sayugianya, kerajaan hari ini sepatutnya mengkaji semula secara lebih mendalam akan perkara ini, berikutan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mencadangkan kepada kerajaan supaya sekolah vernakular dihapuskan di negara ini.

Mengulangi pendirian yang sama sebelum ini, MUAFAKAT berpendirian bahawa penghapusan sekolah vernakular amat bertepatan sekarang, memandangkan keadaan kekeliruan yang sedang berlaku hari ini.

Selaku NGO Islam, MUAFAKAT yakin ajaran Islam itu sendiri mengajar umatnya bagaimana hidup secara harmoni dalam masyarakat berbilang kaum.

Justeru, MUAFAKAT amat bersetuju dengan cadangan 10 NGO tentang penghapusan sekolah vernakular dan menyokong relevannya titah perintah Tuanku Sultan Johor pada tahun 2016 itu.

Sekadar mengenangkan sejarah, telah terbukti dahulu lagi yakni pada tahun 1940-an, sebelum Kemerdekaan, kaum Cina pernah mendesak kerajaan supaya menubuhkan Chinese University di negara ini atas nama hak kesamarataan kaum.

Mujur pada ketika itu adanya Hizbul Muslimin, API, PKMM dan Majlis Raja-Raja yang menolak dan tidak membenarkan penubuhannya, sebagai ganti Universiti Malaya telah ditubuhkan.

Namun, desakan kaum Cina tidak terhenti setakat itu, bahkan mereka membawa tuntutan tersebut ke Parlimen Britain.

Mereka mempertahankan tuntutan itu dengan menyatakan dana dan tanah telah disediakan oleh taukeh-taukeh besar Cina untuk menubuhkan Chinese University. Dan desakan mereka berakhir apabila diberi kata dua;

“Sama ada hendak menuntut persamaan atau mereka boleh pulang semula ke negara asal”.

Ketika itu Majlis Raja-Raja memainkan peranan besar, terutamanya Sultan Johor yang mempunyai hubungan rapat dengan King George VI.

Akibatnya; kaum Cina di Malaya terpaksa akur dan memilih untuk terus tinggal di Malaya dan akan menghormati hak kewarganegaraan.(2)

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

(1) http://m.utusan.com.my/berita/nasional/wujudkan-sekolah-satu-aliran-sultan-johor-1.403071

(2) https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217500900503093&id=1493778212

Top