Muafakat Sokong Kenyataan Menteri Dari Kementerian Dalam Negeri

Print

KUALA LUMPUR, 4 Mei - Akhirnya, belum sempat wakil MUAFAKAT Haji Rashidi Haris menyampaikan ucapan di perhimpunan yang bakal diadakan petang hari ini di Jalan Tunku Abdul Rahman bermula dari jam 2.00 petang hingga ke jam 6.00 petang, TS Muhyiddin; Menteri Dalam Negeri telah membuat kenyataan, akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menghina agama.

Kenyataan Menteri Dalam Negeri ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh Ketua Media MUAFAKAT, kerana sememangnya itulah antara lain hasrat dan tujuan perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh UMMAH iaitu persatuan yang terdiri dari gabungan 300 NGOi dalam negara.

Himpunan yang bertemakan; Himpun Pertahan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan ini diadakan bagi tujuan menyuarakan isi hati ummat kebimbangannya terhadap keadaan Islam hari ini yang terlihat semakin hari semakin terancam.

Terancam bukan hanya kerana serangan dari pihak bukan Islam tetapi juga kerana sikap apologetik pemimpin Islam kepada golongan kafir sehingga menyebabkan golongan kafir hari ini sudah berani bersikap kurang ajar dan biadab terhadap junjungan Nabi Muhammad saw dan keluarga Baginda r.a.

Dengan itu, MUAFAKAT bukan hanya berasa amat bersyukur tetapi mengucapkan terima kasih atas kepekaan Menteri dari Kementerian Dalam Negeri apabila pantas membuat kenyataan dan cekap melihat kemelut yang sedang melanda dalam negara hari ini khususnya terhadap kebiadaban pihak tertentu yang cuba mencabuli hak beragama ummat Islam di tanah air ini dengan memberi amaran keras dan akan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar sempadan kebebasan yang diberikan sesuai seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT