Gagal Nasihat Agong Hasut Pelajar Pula - Muafakat

KUALA LUMPUR, 28 April - Agak luar biasa, apabila taraf seorang Peguam Negara, bertindak bagaikan seorang Wakil Rakyat mewakili suatu parti apabila sanggup berkempen sana sini dengan mengadakan siri menghasut para pelajar supaya menyetujui kehendaknya, iaitu Statut Rom diratifikasikan juga di Forum Malaysia & Statut Rom yang berlangsung di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.

Setelah gagal menyakinkan YDPA, Tommy Thomas berlagak bagai ahli politik pula dengan mengajak beberapa teman-teman dari kalangan berfahaman liberal antaranya Dato’ Noor Farida Ariffin, Dato’ Prof Emeritus Shad Saleem Faruqi, dan dua panelis terakhirnya, Lim Wei Jiet dan Asheeq Ali, semuanya berucap dalam bahasa Inggeris walaupun pengerusi dan moderator berucap dalam bahasa Melayu.

Turut hadir sama mengulas mengenai Statut Rom ialah Syed Husin Ali Al-Attas bekas Timbalan Presiden PKR dan kini adalah Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR. Beliau adalah bekas ISA, berfahaman sosialis yang terang-terangan memperjuangkan negara Republik sejak dahulu lagi melalui Parti Rakyat Malaysia, rebranding dari asalnya; Parti Sosialis Rakyat Malaysia yang masa itu aktif bersama Kassim Ahmad terkenal dengan pegangan anti-hadis.

Forum yang dikatakan pencerahan tentang kedudukan Raja-Raja Melayu jika ia diratifikasikan, tetapi hakikat menjadi pentas mencerca pada pihak yang tidak menyetujui dengan Statut Rom, selain bertujuan mengecam empat pensyarah yang membentangkan kajian mengenai Statut Rom kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu. Ia juga menjadi platform untuk menghina Raja-Raja Melayu.

Kalau benar sekalipun ia perkara kecil dan tidak mengugut kedudukan Raja-Raja Melayu, kenapa harus marah dan menyinggung pihak lain dengan kata nista, bodoh, anjing dan sebagainya?

Lebih melucukan apabila Syed Husin menyindir dengan berkata, “Satu lagi ialah Raja itu, sekarang ini terutama sekali, makin meluas menentang dan menceroboh perlembagaan”. Sedangkan yang sekarang sering menceroboh dan menuntut supaya Perlembagaan diubah ialah pihak beliau yang dari dahulu lagi tidak menghormati perlembagaan.

Kalau sudah gagal menasihati Agong, Peguam Negara sepatutnya perjelaskan kepada Ahli Parlimen dengan mengadakan forum penjelasan kepada mereka supaya mereka pula yang mengadap Agong dan menasihati Baginda, bukannya pelajar.

Bukannya pelajar yang menandatangani perjanjian kemerdekaan dan bersidang di Parlimen.

Janganlah sampai suatu hari nanti sanggup pula menipu rakyat dengan berkata dalam negara Republik juga ada kedaulatan Raja-Raja.

Oleh Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Top