UMMAH Tuduh SUHAKAM Niat Jahat - Berita Harian

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Penganjur himpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menuduh pihak tertentu termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) tidak rasional dan berniat jahat apabila terus mendesak kerajaan meratifikasikan konvensyen berkenaan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Aminuddin Yahaya, berkata pihak berkenaan masih 'keras kepala dan sombong' dengan membuat kenyataan itu walaupun hampir setengah juta rakyat sudah menyatakan ketidakpuasan hati dan menolak ICERD.

"Lebih baik SUHAKAM ini dibubarkan sahaja jika niatnya untuk kucar-kacirkan negara, bertentangan dengan perlembagaan negara, apakah kita mahu ikut acuan Barat?

"Begitu jugan pihak lain yang menyokong ICERD, mereka ini angkuh dan tidak faham serta tidak sedar kehendak rakyat," katanya selepas memberikan keterangan kepada Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Mengulas mengenai keterangan yang diambil polis, Aminuddin berkata, hanya dua individu yang dirakam percakapan semalam.

"Polis merakam keterangan saya dan Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Mahmud Hishamuddin, kira-kira 40 minit.

"Kami memberikan kerjasama yang baik kepada polis dan sedia dipanggil semula jika keterangan kami diperlukan," katanya.

Berhubung sesetengah peserta yang membawa kanak-kanak, beliau berkata pihaknya sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi setiap peserta.

"Ini membuktikan yang kita (penganjur) ambil tindakan wajar, mungkin ada antara peserta ingin pergi membeli-belah bawa anak mereka," katanya.

Top