OIC Perlu Lancar Kempen Boikot, Lupus, Sekat Israel (BDS) – Ikuti Wawancara Penuh Antara Wartawan Utusan Malaysia Dan Presiden MUAFAKAT

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Kerjasama secara menyeluruh dalam kalangan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengaktifkan kuasa boikot mampu menundukkan keangkuhan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang ghairah mencengkam Baitulmuqaddis. Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) Ismail Mina Ahmad berkata, langkah itu perlu dilakukan susulan kejayaan Kempen Boikot, Lupus, Sekat (BDS) yang dilakukan pertubuhan sivil Palestin pada tahun 2005 untuk menekan Israel dan sekutunya dari segi ekonomi.

"Kempen ini memberi kesan yang amat besar kepada dapatan ekonomi Israel pada tahun 2015 apabila pelaburan langsung asingnya terjejas sehingga 48 peratus dan menyebabkan mereka kerugian berbilion dolar. "Jika dilihat kepada keupayaan anggota OIC dalam sektor pengeluaran, saya yakin mereka mampu untuk tidak bergantung kepada produk-produk dari Israel dan AS;' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. Menurut Ismail Mina, beliau berharap agar persidangan OIC yang berlangsung di Istanbul Rabu ini (13 Disember yang lalu) mampu mencapai satu kesepakatan untuk membebaskan Baitulmuqaddis daripada terus dijajah oleh Israel.

Katanya, isu penindasan Baitulmuqaddis, khususnya Palestin telah berlarutan selama 69 tahun namun sehingga kini tidak ada sebarang penyelesaian konkrit dapat dicapai walaupun terdapat campur tangan kuasa besar seperti AS. Jelas Ismail Mina, campur tangan itu hanya retorik AS semata-mata yang sebenarnya adalah sekutu terbesar Israel dan kedua-dua negara itu berkongsi matlamat yang sama iaitu memecah belahkan perpaduan dalam kalangan negara-negara Islam.

"Kita sedia maklum bahawa Trump sudah beberapa kali berlepas ke Tel Aviv sejak memegang tampuk pemerintahan AS. Kesannya selepas itu menyebabkan hubungan antara negara-negara Islam di Asia Barat seperti Arab Saudi, Qatar dan Lubnan menjadi semakin dingin. "Pergolakan antara negara Islam ini dirancang secara terperinci oleh mereka untuk menjatuhkan umat Islam di serata dunia. Mungkin jalan penyelesaiannya boleh dilakukan mengikut cara tokoh Islam terdahulu iaitu Salahuddin Al-Ayyubi," katanya.

Ismail Mina berkata, negara-negara Islam yang mempunyai struktur ekonomi yang kukuh harus memainkan peranan untuk menyumbang dana kepada Palestin bagi membolehkan negara itu merealisasikan agenda mereka yang mahu bebas daripada jajahan Israel.

UMAT Islam membantah kenyataan Donald Trump di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur baru-baru ini. –AP

Sumber: Wawancara Utusan Malaysia pada 11 Disember 2017

Top