Sidang Media - Konvensyen Kebangkitan Ummah (KKU) Anjuran UMMAH

KUALA LUMPUR, 13 Disember - Satu sidang media telah berlangsung di pejabat urusan MUAFAKAT anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pagi tadi sebagai kickoff program mega Konvensyen Kebangkitan Ummah (KKU) yang bakal dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pada awal tahun hadapan di sekitar ibu kota. Sidang media sebentar tadi melibatkan saluran media massa dengan kehadiran para wartawan dari Berita Harian, Utusan Malaysia, Al-Najiyah TV, TV PAS dan ISMA web.

Ucaptama sidang media telah disampaikan oleh Presiden MUAFAKAT, al-Fadhil Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad selaku Pengerusi UMMAH diikuti Tuan Haji Aminuddin Yahya Ketua Sekretariat UMMAH, serta wakil pimpinan NGO Islam yang lain di dalam organisasi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH).

Konvensyen Kebangkitan Ummah (KKU) kali ini menjangkakan akan dihadiri seramai lebih 1,500 orang dan bakal mengubah lanskap perpaduan umat Islam kepada yang lebih baik di masa hadapan yang ianya adalah inisiatif UMMAH untuk membincangkan milestone dan bidang-bidang yang menjadi kepentingan umat Islam ke arah mencapai objektif ummat Islam di negara ini.
 
UMMAH meletakkan dua objektif utama melalui konvensyen kali ini iaitu:

1.    Meningkatkan keinsafan dan kesedaran kepada peserta berkenaan kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam demi kestabilan negara selaras dengan kehendak Maqasid Syarak yang sebenar.

2.    Menggariskan beberapa tuntutan kepada semua pihak yang berkepentingan, demi menjamin keabsahan agama Islam dan bangsa Melayu.

Konvensyen Kebangkitan Ummah (KKU) merupakan program mega yang mengemukakan pembentangan mengikut bidang-bidang kepentingan umat Islam di mana peserta konvensyen kali ini akan diberi banyak ruang untuk mengemukakan pandangan yang akan menjadi input kepada tindakan susulan UMMAH.

Ketika ditanya wartawan, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Ustaz Haji Ismail Mina bin Haji Ahmad berkata, "kita akan buktikan betapa umat Islam kini amat dahagakan suatu solusi yang holistik, dan kita juga sepakat untuk melihat perubahan yang positif berlaku bukan sahaja hal yang menyentuh kepentingan dan perpaduan umat Islam di dalam negara sahaja tetapi suatu perubahan yang mampu menyumbang kepada kekuatan perpaduan umat Islam di seluruh dunia".

NGO-NGO Islam, tokoh-tokoh agama, para ilmuan dan alim ulama' serta individu-individu yang prihatin terhadap Islam dari seluruh Negara adalah dengan segala hormatnya dijemput sama yang mana akan diwar-warkan media massa tidak lama lagi.

Top