Kenyataan Media - Pembatalan All Malaysian – Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC)

KUALA LUMPUR - 9 Jun, Tindakan pembatalan acara “All Malaysian – Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) di Calvary Life Assembly Chinese (CLAC) Melaka oleh pihak berwajib, setelah mendapat bantahan meluas adalah tepat dan wajar.

Bagaimanapun ada pihak tertentu yang menyuarakan kebimbangan pembatalan tersebut seolah-olah menyekat kebebasan beragama seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

MUAFAKAT mengambil pendirian jelas dalam hal ini dan ingin menjelaskannya seperti berikut:

  • acara berkenaan diadakan untuk meraikan kejayaan Israel-Zionis menakluk Negara Islam Palestin dan ianya lebih kepada agenda politik. Ini disuarakan juga oleh pelbagai badan Kristian dengan mengatakan ia tidak ada kena-mengena dan bukan berasal daripada mana-mana ajaran Kristian. Oleh itu tidak timbul sama sekali soal menyekat kebebasan beragama.
  • malah kewajaran acara penaklukan Palestin ini diraikan di Malaysia juga menimbulkan banyak tanda tanya. Penganjur semestinya akur yang Malaysia tidak mengiktiraf negara Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengannya. Oleh itu, tindakan penganjur boleh disifatkan sebagai satu provokasi terhadap dasar luar Negara.
  • tindakan mencabar dasar Negara ini boleh dilihat sebagai satu ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan Negara dan ianya tidak boleh dianggap sebagai perkara yang remeh. Sepatutnya pihak penganjur harus dipanggil oleh pihak berwajib untuk disoalsiasat.

MUAFAKAT berharap tidak ada pihak yang yang bersikap “menangguk di air keruh” dengan mengaitkan acara ini sebagai acara agama dan menghasut perasaan kebencian antara agama.

Yasin BS Baboo,
Setiausaha Agung MUAFAKAT

Top