Sinar Harian : Media Sosial Ejen Sebar - Ismail Mina

SHAH ALAM - 7 Jun, Perkembangan teknologi media sosial hari ini menjadi penyumbang kepada kepesatan penyebaran liberalisme di Malaysia.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, sebelum wujudnya media sosial, penyebaran fahaman liberalisme hanya melalui penerbitan buku dan majlis perbincangan yang terbatas.

“Dahulu, ia memerlukan belanja besar walaupun golongan liberalis itu mendapat dana dari luar. Sementara buku-buku pula perlu dijual dan dibeli. Ini melibatkan wang pembeli. Proses penyebaran seperti ini lambat.

“Dengan adanya media sosial, sasaran tidak perlu mengeluarkan wang. Mereka cuma perlu membaca sahaja. Tiada bayaran. Proses menyampaikannya pun cepat,” katanya.

Beliau berkata, golongan yang mudah terpedaya dengan dakyah pemikiran dan falsafah liberalisme terdiri daripada individu yang tidak menekuni Islam secara tertib, tidak berdisiplin dalam menuntut ilmu serta tidak menghayati teks-teks autentik daripada karya-karya turath.

“Panduan mereka bukan lagi al-Quran dan sunnah, akan tetapi falsafah pascamodernisme yang berpaksikan kepada human centricism iaitu sikap memutlakkan akal dan ego diri,” katanya.

Sementara itu, Ismail Mina berkata, pihak berkuasa memerlukan satu mekanisme baharu bagi menghalang penyebaran fahaman liberalisme melalui media sosial.

“Jika kita ada mekanisme untuk memantau penyebaran fahaman Daesh, kita juga perlu mengadakan mekanisme seperti itu untuk memantau terrorisme pemikiran.

“Gerakan liberalisme adalah gerakan terrorisme pemikiran yang natijahnya menjurus kepada ketidakstabilan dan kekacauan dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas keseriusan penyebaran fahaman liberalisme, Ismail Mina berkata, situasi pada hari ini amat membimbangkan.

Jelasnya, penyebaran virus liberalisme ini sudah memasuki kelompok, organisasi dakwah Islam dan institusi-institusi berjenama Islam.

“Sekarang ini, kelompok yang memperjuangkan liberalisme ini tumbuh macam kulat dengan pelbagai nama yang catchy. Merekalah ejen menularkan lagi virus ini sehingga ke kawasan pedalaman.

“Virus liberalisme ini juga sudah menular ke kampus-kampus. Mahasiswa yang tidak kuat dalam ajaran agamanya akan terpengaruh. Aktivis liberal itu menyogok mahasiswa dengan slogan kebebasan, keadilan, kemanusiaan dan sebagainya,” katanya.

 

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/media-sosial-ejen-sebar-1.685304

 

_____________________________________________________________________________________________________________________________________

Baca wawancara penuh di antara Sinar Harian dan Presiden MUAFAKAT berikut.

1. Dimanakah tahap keseriusan Islam Liberal di Malaysia ini memandangkan pada ketika ini munculnya individu yang lantang bertindak menggunakan akal rasional dan meninggalkan al-Qur'ān dan al-Sunnah sebagai panduan dalam kehidupan?

JAWAPAN

Sebelum kita teruskan perbincangan, elok diperhalusi, apakah benar golongan Islam Liberal Melayu Malaysia, menggunakan akal rasional dalam memahami ajaran Islam seperti dakwaan mereka. Untuk menjawabnya, kita rujuk kepada tulisan seorang Liberalis Melayu, Khalid Jaafar, dalam kata pengantar buku Apa Itu Pencerahan karangan Immanuel Kant, yang diterbit pada tahun 2006, berbunyi: ...membebaskan tenaga pikiran manusia... menggunakan akal sebagai alat untuk menyoal siasat… amalan beragama… Gandingkan dengan kata-kata Kant dalam buku tersebut yang berbunyi: meletakkan diri… untuk menggunakan kefahaman sendiri dengan yakin dalam hal-ehwal agama tanpa panduan orang lain… Pada bulan Februari 2008 pula, seorang lagi liberalis Melayu menulis dalam media sosial berbunyi: ... Lebih dua dekad lalu saya cuba hayati semangat sapere aude… Sapere aude bermakna berani menggunakan akal dan kefahaman sendiri. Perhatikan pula respons beliau berikutan pengharaman buku yang mempropagandakan Islam menerima Pluralisme Agama bertajuk: Islam Dan Pluralisme. Katanya: bukan sikap bebal, pantas menghukum atau mengharamkan karya dengan sewenangnya… Buku ini merupakan himpunan tulisan yang antaranya ialah Nurcholish Madjid, ideolog Liberal Indonesia; John Hick, bapak Puralisme agama; Hans Kung dll. Semua mereka dikenali sebagai Liberalis dan Pluralis agama.

Dakwaan Liberalis Melayu mahu membebaskan akal, sebenarnya tidak. Mereka bergantung kepada orang lain seperti Kant, Hick, Dante, Prabhavananda, Amartya Sen dsb sebagai panduan. Dimanakah akal rasional dan apakah rasionalnya meninggalkan ajaran daripada ‘Ulama dan Hukama’ Islam dan mengambil dari orang bukan Islam sebagai panduan dalam beragama? Malah kalau mereka mengutip dari orang Islam, yang mereka kutip itu pun, adalah orang-orang yang sebahagiannya telah dihukum terkeluar dari agama Islam oleh autoriti agama di negara asal mereka.

Istilah paling tepat kepada akal mereka ialah akal diabolik bukan akal rasional.

Kita perlu membahagikan tahap keseriusan golongan Liberalisme ini kepada dua jenis. Pertama dari perspektif pemikiran dan falsafah; dan keduanya tahap jangkauan penjelajahan dan penyebaran pemikiran dan falsafah mereka.

Dari perspektif pemikiran dan falsafah, mereka menerima al-Qur'ān dan al-Sunnah, akan tetapi perlu ditafsir ulang atau reinterpretasi atau reorientasi supaya sesuai dengan perkembangan zaman. Mereka menolak kaedah tafsiran para ‘Ulama Islam, akan tetapi mereka terpaksa bergantung kepada orang lain juga iaitu intelektual Kristian-Zionis dengan mengambil kaedah hermeneutik tajaan Kristian-Zionis dalam menafsirkan al-Qur'ān. Pendekatan semacam ini menjadikan al-Qur'ān dan al-Sunnah sebagai pasif dan mati, sementara zaman menjadi imam, Bible menjadi penafsir dan penanda aras. Mereka namakan ini sebagai Renaisans atau Islam Progresif. Justeru mereka mengambil ideologi, teori dan sistem buatan manusia sebagai panduan hidup menggantikan al-Qur'ān dan al-Sunnah.

Satu tahap lagi ialah membenarkan seseorang berfikir di luar al-Qur'ān. Sikap dan pendirian seperti ini, ditakuti terkeluar daripada Islam. Apakah ini dinamakan pemikiran rasional dan bebas? Tidak. Seseorang Islam wajib berfikir di dalam bingkai al-Qur'ān dan al-Sunnah kerana keduanya adalah panduan kepada akal. Akal mesti tunduk kepada autoriti keduanya. Jika secara zahir kelihatan semacam ada percanggahan dengan akal atau tidak difahami, maka yang perlu disalahkan ialah akal, kerana kedangkalan akal memahaminya, justeru perlu mendatangi dan bertanya kepada golongan ‘Ulama yang rāsikhūna fi al-‘ilmi dan ahli dzikri. Ini perintah al-Qur'ān.

Suatu tahap lagi, mereka mengubah semua epistemologi di dalam al-Qur'ān dan al-Sunnah. Antara lain, mereka mengubah konsep dan epistemologi syirik, iman, Islam, baik, jahat, Tawhid, keselamatan dan banyak lagi. Bagi mereka, syirik bukan bermakna Kafir ‘aqidah cuma label moral sahaja kerana tidak bersyukur. Bagi mereka, Iman bermakna mempercayai adanya tuhan – maka dia sudah beriman. Sebab itu dalam satu perjumpaan dengan kumpulan bukan Islam, seorang Liberalis Melayu memberi tahu sidang, Islam menekankan supaya memelihara agama dengan menggunakan kaedah Memelihara Agama atau ḥifẓ al-dīn dalam Maqasid Syara‘ secara salah. Seseorang itu hanya digelar beriman alias Islam, sekiranya dia beriman kepada Nabi Muhammad s‘aw sebagai Utusan Allah dan menerima segala yang dibawa Baginda yang berupa Rukun Iman dan Rukun Islam. Menolak salah satu daripadanya dikira tidak beriman atau tidak menjadi Islam.

Atas premis yang sekadar mencukupi mempercayai adanya tuhan, Liberalis Malaysia, bergerak ke suatu tahap lagi iaitu meyakini yang semua agama di dunia ini sama taraf dan sama benar belaka, justeru akan dapat memasuki Syurga Allah, walau pun menyembah berhala, penyembah api, penyembah batu dsb. Mereka ini dinamakan penganut Pluralisme Agama. Mereka ada menerbitkan buku bertajuk ‘Islam dan Pluralisme Agama’ dan ‘Pergolakan Pemikiran Islam’ yang penuh dengan kesyirikan. Buku-buku ini telah diharam oleh pihak berkuasa. Seorang Pluralis Melayu Malaysia di dalam ucapan bertulisnya di London beberapa tahun dahulu menyatakan semua penganut agama-agama yang ada, akan dapat masuk ke dalam Syurga. Ini adalah salah kerana dengan kedatangan Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s‘aw, semua agama tidak diterima lagi di sisi Allah sebagai benar.

Fahaman Liberalisme juga memasuki wilayah keruhaniyyan. Pada paras keruhaniyyan, mereka berkata, semua penganut agama yang pelbagai, menyembah tuhan yang sama, yang dinamakan sebagai The One. Aliran ini bernama The Transcendent Unity of Religions yang dikenali sebagai Perennialist. Di Malaysia, fahaman ini dianuti oleh elit intelektual Melayu.

Selain dari itu, mereka juga mengubah hukum yang bersifat qaṭ‘ī haram di dalam al-Qur'ān dan al-Sunnah. Mereka menghalalkan berkahwin silang agama di antara orang Islam dengan yang bukan Islam seperti yang tenyata di dalam buku terbitan mereka di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Demikian juga mereka menghalalkan perbuatan haram jenayah liwat yang dikatakan mereka sebagai bersifat tabi‘i. Di Indonesia, golongan ini telah menerbitkan buku menghalalkan perlakuan jenayah tersebut.

Selain dari itu, kelompok Liberal ini mempromosikan Kesetaraan Gender. Justeru, Liberalis perempuan berbangsa Melayu berani menjadi imam Solat yang makmumnya lelaki! Dan menuntut hak cerai.

Demikian juga melalui akal diabolik, mereka menolak perkara-perkara yang sudah diIjma‘kan dalam Islam, bersikap prajudis dan sinikal bahkan menolak ajaran golongan rasikhuna fil ‘ilmi iaitu ahli ‘ilmu yang luas pengetahuan, amanah dengan ‘ilmu dan memiliki kualiti akhlaq yang tinggi. Mereka menolak al-Ijma‘ padahal al-Ijma‘ merupakan salah satu dari tunggak utama dalam Islam selepas al-Qur'ān dan al-Sunnah.

Yang dipaparkan ini, dapatlah dinilai betapa seriusnya pemikiran Liberalis masuk ke dalam masyarakat Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Tahap paling tinggi dari fahaman ini ialah terkeluar dari Islam alias murtad dan yang paling bawah ialah sesat dan mungkar.

Dalam wacana kaum Liberalis, mereka mendakwa menggunakan akal rasional, justeru dapat membaca dan membuat analisis segala-galanya dengan benar dan baik dari teks al-Qur'ān dan al-Sunnah. Itu dakwaan. Perlu diketahui, sistem keilmuan dan perjalanan intelektual Islam, seseorang dituntut supaya memiliki akal integrasi yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis akal seperti akal ‘ubūdiyyah, akal tamyizi dsb. Jenis-jenis akal ini menjadi satu dan padu sebagai mekanisme berfikir. Ia tidak boleh terpisah. Atau dalam perspektif lain, ia memerlukan akal Ibrāhīmiyyah dalam memberi respons kepada fenomena persekitaran yang aksiologinya menTawhidkan Allah. Maka di sinilah akal perlu diisi dengan mendalami ‘ilmu Maqūlāt. ‘Ilmu Maqūlāt dapat memandu memahami segala sesuatu secara ontologikal dan epistemologikal. Justeru, memerlukan kualiti pemikiran tinggi, skil kemahiran berfikir yang unggul dan berdisiplin.

Liberalis sebenarnya bukan menggunakan akal rasional dalam epistemologi dan wacana intelektual, akan tetapi menggunakan akal diabolik seperti yang terdahulu disebut. Ini adalah kerana akal mereka itu diproses melalui mantik yang terputus dari kitab Suci al-Qur'ān dan al-Sunnah, justeru tidak akan dapat memahami perkara-perkara yang transcendental, hal-hal yang berkaitan dengan sifat-sifat sakral atau qudus dalam agama, doktrin yang bersifat ghaybiyyāt dsb. Justeru, akal Liberalis tidak dapat menghuraikan konsep-konsep seperti nūr, barakah, rūḥ, ṣiraṭ serta hikmah-hikmah Qur'ānik.

Sebahagian mereka mengatakan, dengan membebaskan akal dari terikat kepada al-Qur'ān dan al-Sunnah, mereka telah berada di dalam suatu lingkungan Meta Narrative atau Wacana Agung yang amat bahagia kerana bertemu dengan pemikiran dan falsafah Liberalisme. Meta Narrative sebenarnya ialah rational wisdom atau Hikmah Prophetik yang bersumberkan Naratif al-Qur'ān dan al-Sunnah. Bukan selainnya. Adakah dengan mengagungkan slogan Nietzsche ‘God is dead’ – tuhan sudah mati - na‘ūdzubillāh seperti yang diwacana oleh sebahagian Liberalis Melayu Malaysia itu menunjukkan mereka memilik akal paling rasional? Atau mengagungkan Karl Marx, Zionis berbaju Komunis itu? Maka di sinilah pentingnya mendalami wacana Kalam Cosmological Argument seperti yang dihuraikan antara lain oleh Imam al-Ghazali rh. Akibat dari fahaman dan falsafah rasionalisme Barat yang ditelan bulat-bulat itu, wacana mereka ialah menSekularkan Islam dan menurunkan darjat agama Islam pada paras akal diabolik. Panduan mereka bukan lagi al-Qur'ān dan al-Sunnah, akan tetapi falsafah Pascamodernisme yang berpaksikan kepada human centricism iaitu sikap memutlakkan akal dan ego diri.

Dari segi jangkauan daerah penjelajahan dan penyebaran pula, hal ini amat membimbangkan. Penyebaran virus Liberalisme ini sudah memasuki kelompok, organisasi dakwah Islam dan institusi-institusi berjenama Islam. Sekarang ini, kelompok yang memperjuangkan Liberalisme ini, tumbuh macam ulat dengan pelbagai nama yang ‘catchy’. Merekalah menjadi agen menularkan lagi virus ini ke masyarakat awam dan menerjah hingga ke pedesaan. Virus Liberalisme ini juga sudah menular ke kampus-kampus. Mahasiswa yang tidak kuat dan dalam ajaran agamanya akan terpengaruh, sementelah pula, jika ada pensyarah yang Liberalis. Aktivis Liberal itu menyogok mahasiswa dengan slogan kebebasan, keadilan, kemanusiaan dsb. Ini yang menarik mereka. Sebahagian mereka ada yang sudah berdu‘a atas nama tuhan bukan Islam, menyanjung dan menyebar falsafah Hindu, menyebar falsafah Komunisme dsb. Ini adalah hasil pemikiran dan falsafah Liberalisme. Pihak berkuasa kampus perlu memberi perhatian serius kepada fenomena ini.

 

2. Golongan ini menggunakan pendekatan akademik yang kononnya bersifat ‘ilmiah yang sedikit sebanyak dapat mempengaruhi umat Islam yang kurang asas Agama. Dimanakah peranan kita bagi memastikan masyarakat tidak terpengaruh dengan perjuangan mereka?

JAWAPAN

Ya memang benar pendekatan mereka ada sedikit sebanyak memberi kesan kepada sebahagian umat Islam. Dalam penelitian saya, golongan yang terpedaya dengan diayah pemikiran dan falsafah Liberalisme ini terdiri daripada orang-orang yang tidak menekuni Islam secara tertib, tidak berdisipin dalam menuntut ‘ilmu dan tidak menghayati teks-teks autentik dari karya-karya turath. Dan sebahagiannya pula yang terpengaruh itu terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan kewangan dengan limpahan dana asing. Perhatikan sebahagian besar buku pernerbitan mereka dibiayai oleh Konrad Adenuer Stiftung, Sasakawa, Asia Foundation dsb. Justeru, peranan kita untuk membendung arus mungkar Liberalisme ini ialah dengan kembali memperkasakan ahli masyarakat dengan Wacana Agung atau Meta Narrative al-Qur'ān dan al-Sunnah bersekali dengan huraian Ahli Hikmah dan ‘Ulama yang rasikh. Kita juga perlu menganjurkan wacana-wacana menghuraikan kepalsuan dan kemungkaran pemikiran serta falsafah Liberalisme ini dari suluhan ajaran ‘Ulama dan Hukama’ kita yang banyak itu. Dan juga, kita perlu banyak menulis dan menerbitkan buku-buku dan risalah menerangkan ketinggian dan kebenaran doktrin Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah dengan menggunakan mantiq Islami serta kekuatan daya intelektual yang tinggi dan menyebarkan kepada masyarakat. Dengan keberadaan media sosial, kita perlu memanfaatkannya secara optimum. Al-hamdulillah, MUAFAKAT, dengan pertolongan Allah, telah membuat perkara-perkara tersebut dan in sya Allah akan terus berbuat. Demikian juga, perlu memperkasakan ahli masyarakat kita dengan budaya Qur'anik dan mendedahkan kehidupan mereka kepada kehidupan bersifat Nabawiyyah. Atas segala-galanya itu, usaha dakwah berteraskan ajaran Ahli Sunnah perlu dilipat ganda secara tersusun melalui jaringan yang lebar dan kuat.

 

3. Bagi MUAFAKAT, apa yang dilakukan untuk memastikan bahawa golongan yang memperjuangkan Islam Liberal dapat disekat?

JAWAPAN

Al-hamdulillah, sejak pemikiran Liberalisme di wacana secara terbuka oleh Liberalis Melayu Malaysia itu, MUAFAKAT memberi respons segera. MUAFAKAT telah membuat wacana terbuka, menerangkan kemungkaran dan kebatilan pemikiran mereka yang sekali gus menjawab, melalui suluhan ajaran Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. Program ini kami lebarkan ke kampus-kampus dan ruang-ruang awam. Menariknya, isu ini disambut oleh pelbagai pihak. Mereka pula menganjurkan kepada awam. Selain dari itu, MUAFAKAT ada menerbitkan buku-buku berkaitan dengan kemungkaran fahaman Liberal ini. Kita hanya dapat menyekat penularan fahaman ini – sudah tentu dengan pertolongan Allah – ialah dengan memberi kefahaman berkaitan dengan ‘Aqidah Islam seperti yang diajar dalam Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Barang diingat, ‘ilmu semata-‘ilmu tidak menjamin seseorang itu tidak menganut fahaman Liberalisme. Apa yang penting ialah bersama dengan ‘ilmu, kita perlu tanamkan ‘Aqidah dan iman itu di lubuk hati setiap Muslim dengan teguh. Ini jelas seperti yang difirman oleh Allah, Surah al-Hujurat: 14 – terjemahan: Orang-orang ‘Arab badawi itu berkata: kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka): kamu belum beriman tetapi katakanlah kami telah tunduk (Islam), kerana iman itu belum masuk ke dalam hati kamu... Kita dapat perhatikan dengan mata jelas, betapa ada graduan dan lulusan di bidang Agama Islam, ada yang hafaz al-Qur'ān pula, tetapi telah menjadi Liberalis bahkan ada yang murtad. Na‘uzubillah.

Mungkin juga kita dapat sekat atau paling tidak mengurangkan kelajuannya melalui dialog. Pemikir dan aktivis Liberal ini perlu dipanggil berdialog. Dialog ini harus dikendali oleh pihak berautoriti agama seperti JAKIM, Mufti atau Majlis Agama negeri yang disertai juga oleh intelektual Islam Ahli Sunnah. Ini pun tidak menjamin keberkesanannya. Tetapi paling tidak, kita sudah berusaha membendung. Tetapi kepada Liberalis yang sudah melanggar ajaran asasi dalam Islam, maka pendekatan hukuman perlu ada, seperti isu dadah.

 

4. Adakah Islam Liberal ini merupakan kaedah daripada musuh Islam untuk merosakkan Islam itu dari dalam?

JAWAPAN

Memang benar, musuh Islam senantiasa bekerja keras untuk merosakkan ajaran Islam dari dalam. Mereka melakarkan suatu Grand Design iaitu suatu peta perancangan yang komprehensif. Di antara agenda penting dalam Grand Design mereka itu ialah menyebarkan fahaman dan falsafah Liberalisme.

Dr Adam Weishaupt, seorang tokoh penting Illuminati, dalam 25 doktrin yang dilakar beliau, terang-terang menulis…..preach Liberalism, yakni menyebarkan fahaman Liberalisme. Sementara di dalam buku The Protocols of the Meetings of the Elders of Zion, pada Protokol yang ke X.9, menyebut – terjemahan: Apabila kita memperkenalkan racun Liberalisme (the poison of of liberalism) kepada organisme Negara, seluruh warna politiknya mengalami perubahan. Pada Protokol ke IX.2 pula menyebut – terjemahan: Kata-kata liberal, sebenarnya slogan Mason kita… Kesimpulannya, menyebarkan fahaman dan falsafah Liberalisme ini adalah agenda penting golongan Illuminati-Zionis. Ia berada di dalam kata kunci pada Protokol yang ke XV iaitu liberal interpretations.

Dalam Protokol tersebut, kaum Illuminati-Zionis, terang-terang menyatakan perlu diperdaya dan diperbodoh golongan Goyim iaitu nama lain kepada orang bukan Yahudi. Caranya dengan meliberalkan pemikiran Goyim melalui slogan-slogan dan teori-teori palsu yang sengaja cipta.

Di antara senjata dan strategi yang digunakan ialah melontarkan slogan-slogan tersebut dalam bentuk pemikiran dan falsafah ke dalam masyarakat Islam supaya mereka bergelut dan berkelahi sesama sendiri untuk memilih pemikiran dan falsafah yang wajar diikuti. Untuk tujuan penyebaran dan penyerapan fahaman Liberalisme ini, golongan Illuminati-Zionis, menganjurkan program-program dialog kebudayaan, dialog ketamadunan serta dialog antara penganut pelbagai agama. Ini sebenarnya merupakan suatu peperangan pemikiran atau war of ideas. Dialog-dialog seperti ini pada hakikatnya adalah ‘jalan damai’ untuk meliberalkan pemikiran Ummat Islam, justeru merosakkan mereka dari dalam. Resolusi dialog-dialog tersebut, mengatakan semua agama dan budaya sama benar belaka dan tidak boleh menonjolkan yang agama Islam adalah paling tinggi, pada hal Hadith jelas menyatakan Islam adalah Agama paling tinggi.

Resolusi tersebut akan diusung oleh ‘wakil-wakil Islam’ yang dijemput oleh penganjur. Sesudah ‘wakil-wakil Islam’ dibasuh otak dalam program-program tersebut, mereka akan mengusung pemikiran dan falsafah Liberalisme masuk ke dalam masyarakat Islam dengan slogan-slogan barbarik dan diabolik atas nama perdamaian sejagat dan hak asasi.

Dari satu sisi lain, pemikiran dan falsafah Liberalisme ini, berjaya mengubah konsep akhlaq dan budaya di dalam Islam. Seperti ternyata di dalam The Protocols, mereka akan merosakkan orang-orang bukan Yahudi melalui kerosakan akhlaq. Mereka membina teori dan sistem akhlaq baru atas nama kebebasan peribadi dan hak asasi yang dipanggil New Morality atau Moral Theology. Teori dan sistem akhlaq baru tidak mementingkan ajaran dari al-Qur'ān, al-Sunnah dan huraian ‘Ulama dan Hukama’, akan tetapi berdasarkan apa yang dirasakan baik oleh pelaku itu. Sebab itu kita dapati golongan Liberalis tidak peduli kepada penularan aktiviti maksiat liwat. Malah, ada yang berani secara terbuka mengisytiharkan dirinya seorang aktivis liwat.

Demikian juga, untuk merosakkan ajaran Islam dari dalam, Illuminati-Zionis, membina teologi atau ‘aqidah baru bernama inklusivisme. Inklusivisme bermakna semua unsur-unsur ‘aqidah dalam ajaran semua agama boleh dimasukkan ke dalam ajaran Islam. Malangnya, ‘aqidah batil ini, disambut dan diusung oleh intelektual Islam yang mempunyai kedudukan dalam institusi kerajaan!

Inilah yang dinamakan dekonstruksionisme agama atau meruntuhkan agama dari dalam. Musuh Islam sudah jelas diterang oleh Allah sejak Iblis dihalau dari Syurga. Sejarah juga menceritakan kepada kita konspirasi Yahudi Madinah memusuhi Islam. Hinggalah ke hari ini, mereka tidak akan henti-henti membuat pelbagai rancangan untuk merosakkan ‘Aqidah, Syari‘at, susunan dan konsep akhalq, sistem ‘ilmu dan sistem ‘ibadat dengan menyusup masuk pemikiran-pemikiran dan konsep-konsep batil ke dalam pemikiran ummat Islam melalui individu berpengaruh, komuniti intelektual dan badan-badan berjenama Islam!

 

5. Melihat daripada perkembangan media sosial, adakah media sosial itu menjadi penyumbang kepada kepesatan golongan ini dalam menyebarkan fahaman mereka?

JAWAPAN

Media sosial adalah suatu saluran dan prasarana baru yang amat efektif dalam menyebarkan maklumat. Kepesatan perkembangan pelbagai jenis saluran dalam media sosial sekarang seperti Whatsapp, Instagram, Telegram, live streaming dsb amat menyumbang kepada kepesatan penyebaran Liberalisme ini. Ini disebabkan beberapa faktor – antaranya, hampir semua orang memiliki telefon bimbit dan komputer riba. Keduanya saluran melalui media sosial tidak memerlukan lesen. Ketiganya tidak ada sistem penapisan seperti penapisan filem. Sesiapa sahaja boleh menulis dan menyebarkan apa sahaja fahaman dan pemikiran mereka melalui media ini, dari mana sahaja mereka berada. Ini bermakna ruang sasaran mereka teramat luas dan tidak ada batas, berbanding wacana-wacana di bilik-bilik seminar atau penyebaran buku yang menghadapi risiko disita.

Wacana-wacana di bilik-bilik seminar cuma dapat menampung beberapa ratus orang sahaja berbanding media sosial yang menjangkau puluhan bahkan ratusan ribu malah jutaan orang. Lihat sahaja isu Arab Spring. Melalui media sosial, mereka dapat menukar kerajaan. Demikian dalam isu pilihanraya Amerika Syarikat baru-baru ini. Dan kes terbaru ialah bagaimana jutaan orang dari seluruh pelusuk Negara Indonesia dapat berhimpun membuat protes dalam isu penistaan terhadap Agama Islam. Ini semua adalah kecepatan maklumat dan keberkesanan yang disampaikan melalui media sosial. 

Selama ini, sebelum wujud media sosial, penyebaran fahaman Liberalisme hanya melalui penerbitan buku dan majlis perbincangan yang amat terbatas audiensnya. Ia memerlukan belanja besar - walaupun golongan Liberalis itu mendapat dana dari luar, sementelah pula buku-buku tersebut perlu dijual dan dibeli. Ini melibatkan wang pembeli. Proses penyebaran seperti ini lambat. Dengan adanya media sosial, sasaran tidak perlu mengeluarkan wang. Mereka cuma perlu membaca sahaja. Tiada bayaran. Proses menyampaikannya pun amat cepat bahkan lagi cepat jika melalui live streaming.

Dalam konteks kelajuan dan kepesatan penyebaran fahaman Liberalisme ini, sekiranya badan pemantau ingin memantau sesuatu isu yang bersalahan dengan ajaran Islam yang terkandung di dalam fahaman Liberalisme ini, mereka tidak akan dapat berbuat demikian kerana tulisan tersebut disebarkan terlalu pantas sehingga ‘terlepas’ kepada sasaran dan dapat disimpan. Sekiranya ia menjadi isu besar, mereka akan menghapuskannya.

Kita memerlukan suatu mekanisme untuk menghalang penyebaran fahaman Liberalisme melalui media sosial ini. Jika kita ada mekanisme untuk memantau penyebaran fahaman Daesh, justeru, kita perlu mengadakan mekanisme seperti itu juga untuk memantau terrorisme pemikiran. Gerakan Liberalisme adalah gerakan terrorisme pemikiran yang natijahnya menjurus kepada ketidakstabilan dan kekacauan dalam masyarakat. Betapa tidak, kerana baru-baru ini, melalui media sosial, terdapat tulisan mengatakan Islam yang kita anuti sekarang ini adalah Islam second hand dan ada yang sudah mempersoalkan mengenai kejadian Allah. Perkara ini diungkap dan ditulis oleh orang Melayu! Bukankah hal ini mengundang malapetaka dalam masyarakat?

Memang benar media sosial memainkan peranan besar memesatkan penyebaran fahaman Liberalisme ini.

 

Ismail Mina Ahmad,

Presiden MUAFAKAT

Top